25 November 2008

Makan Telor


Wanita alami kesan lebih serius
WASHINGTON: Sekumpulan saintis Amerika Syarikat mendakwa amalan memakan sebiji telur sehari boleh meningkatkan risiko penyakit diabetes atau kencing manis sebanyak 60 peratus. Malah, bagi wanita, risikonya jauh lebih tinggi iaitu 77 peratus.
Penyelidik Fakulti Perubatan Universiti Harvard dan Hospital Wanita Boston, juga memberi amaran, penghidap diabetes jenis kedua atau jenis yang dialami dewasa, boleh berdepan keadaan jauh lebih serius jika memakan beberapa biji telur sehari. Mereka membuat kesimpulan itu berdasarkan kajian ke atas 57,000 wanita dan lelaki dalam tempoh 20 tahun. "Tindakan memakan cuma sebiji telur dalam masa seminggu tidak memberi sebarang ancaman," kata hasil penyelidikan mereka yang disiarkan edisi terbaru jurnal Diabetes Care.
Sehubungan itu, doktor kini menggesa penghidap diabetes Jenis Kedua atau yang berisiko menghidapnya, mengehadkan pengambilan telur kepada cuma tiga biji seminggu. "Jika masih ada yang berminat menjadikan telur sebagai makanan utama, pilihlah yang mempunyai kandungan Omega 3 lebih tinggi." Biarpun menjadi sumber pelbagai sumber vitamin dan khasiat lain, telur juga mengandungi kolesterol yang tinggi dan lemak tidak tepu yang menjadi antara risiko diabetes Jenis Kedua. Diabetes adalah penyakit yang mana paras glukos dalam darah terlalu tinggi disebabkan kegagalan badan menggunakannya.
Ada dua jenis diabetes iaitu Jenis Pertama membabitkan kegagalan badan menghasilkan sebarang insulin dan lazimnya berlaku sebelum individu berusia 40 tahun Diabetes Jenis Kedua pula merujuk kepada masalah badan yang masih boleh menghasilkan insulin, tetapi tidak cukup. Majoriti kes membabitkan mereka yang mengalami masalah berat badan lazimnya muncul ketika mereka berusia lebih 40 tahun. - Agensi

Tiada ulasan: