23 Mac 2011

35,100 kitab Injil disita boleh segera dituntut.

Cop, nombor siri prosedur biasa

KUALA LUMPUR: 23 Mac 2011:-
Kumpulan penganut agama Kristian yang mengimport 35,100 kitab Injil, yang kini ditahan di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang, diminta mengambil segera kitab itu untuk diberi kepada pembacanya.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata walaupun tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meletakkan cop atau nombor siri pada kitab yang dikeluarkan, kumpulan itu perlu sedar tindakan sama juga dilakukan ke atas al-Quran. "Fokus utama adalah memastikan kitab Injil itu diberi kepada individu yang membacanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, kerajaan juga memperoleh persefahaman bantuan daripada penderma Kristian untuk membayar semua kos 30,000 kitab Injil yang disita di Pelabuhan Kuching, Sarawak dan 5,100 naskhah di Pelabuhan Klang, Selangor secara percuma.
Untuk itu, pengimport kitab berkenaan boleh mengambilnya secara percuma dan sekiranya kumpulan terbabit tidak mahu mengambil semua kitab itu, penderma Kristian bersetuju untuk membayar kos membawa kitab Injil baru sebagai ganti dan akan dicetak atau dicop dengan perkataan 'Untuk Agama Kristian’.

Idris berkata, kerajaan juga bersetuju untuk mengeluarkan arahan supaya kitab Injil baru yang akan dicetak dalam bahasa Malaysia boleh dibawa masuk selagi perkataan ‘Untuk Agama Kristian’ dicop secara jelas menggunakan huruf cetak ‘Arial saiz 16 dengan jelas atau bold’ sewaktu tiba di pelabuhan tertentu.
“Ini adalah jalan penyelesaian adil dan munasabah dari kerajaan dengan bantuan penderma Kristian, semua 35,100 kitab Injil akan dikeluarkan secara percuma kepada pengimport.
“Tambahan pula, dengan wujudnya arahan kerajaan, adanya jaminan kerajaan bahawa dalam masa yang akan datang, kitab Injil yang diterjemahkan dalam bahasa Malaysia boleh diimport dan dikeluarkan dengan perkataan ‘Untuk Agama Kristian’," katanya.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching, Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Tindakan itu selaras dengan warta 1982 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag ‘Untuk Penganut Agama Kristian saja’.

Bagaimanapun penganut agama Kristian yang mengimport kitab itu enggan dan masih belum mengutip kitab itu kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meletakkan cop atau nombor siri pada kitab yang dikeluarkan.

Ini menyebabkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dianggotai timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa menteri berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu. – BERNAMA

Tiada ulasan: