13 Disember 2010

Jawatankuasa khas PPIM kendali aduan mangsa MLM

KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan Jawatankuasa Saringan Aktiviti Perniagaan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan atau berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan melalui aktiviti perniagaan termasuk jualan langsung (MLM) yang diragui operasinya.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata jawatankuasa itu yang beroperasi mulai minggu depan akan mengumpul dan membuat rumusan terhadap setiap maklumat yang diterima melalui satu ruangan khas yang dimuatkan di laman web PPIM. “PPIM berharap sesiapa yang mempunyai pengalaman ditipu dalam aktiviti perniagaan berkongsi maklumat supaya masyarakat dapat menjadikannya sebagai rujukan untuk mengenalpasti sama ada sesuatu perniagaan itu benar-benar sah ataupun tidak. “Sekurang-kurangnya maklumat yang dikongsi membolehkan orang ramai berinteraksi sekali gus mengelakkan daripada terus tertipu melalui pelbagai tawaran dibuat khususnya syarikat MLM,” katanya pada sidang media mengenai isu penipuan syarikat jualan langsung di sini.

Katanya, tahun ini saja PPIM menerima kira-kira 70 aduan daripada pengguna yang mendakwa ditipu syarikat MLM, termasuk golongan profesional dan kakitangan awam.

Sementara itu, seorang mangsa, Fariza Shamsudin, 33, berkata beliau kini terpaksa menanggung hutang bank sebanyak RM60,000 selepas terpedaya dengan janji manis ejen MLM untuk menyertai satu skim yang menjanjikan pulangan sehingga RM120,000 dalam tempoh setahun.

“Semua urusan pinjaman (bank) diuruskan ejen dan saya hanya menandatangani surat perjanjian bank. Pada mulanya, saya memang mendapat pulangan RM20,000 secara berperingkat seperti dijanjikan tapi lama-kelamaan terus senyap,” kata jururawat yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di sini.
Dalam perkembangan berasingan, Nadzim berkata pihaknya akan bertemu dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membincangkan langkah yang boleh diambil bagi membantu pelajar universiti persendirian di Mesir meneruskan pengajian mereka.

Katanya, sehingga semalam kutipan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar terbabit mencecah RM20,000 dan pihaknya masih mengharapkan sumbangan daripada orang ramai.
sumber

Tiada ulasan: