27 November 2010

600,000 mati akibat asap rokok...!!



PARIS 26 Nov. 2010 - Hampir 600,000 orang yang tidak merokok, dengan satu pertiga daripada mereka kanak-kanak, meninggal dunia setiap tahun akibat menyedut asap rokok daripada mereka yang mengamalkan tabiat itu.

Angka itu diperolehi daripada kajian pertama yang diadakan di seluruh dunia mengenai kesan asap rokok ke atas golongan bukan perokok.

Berlainan dengan penyakit 'gaya hidup' yang banyak berpunca daripada pilihan individu, mangsa yang dikenali sebagai perokok pasif itu menanggung akibat daripada tabiat merosakkan kesihatan yang diamalkan oleh orang lain, terutamanya ahli keluarga.

Di kalangan bukan perokok di seluruh dunia, 40 peratus kanak-kanak, 35 peratus wanita dan 33 peratus lelaki terdedah kepada asap rokok pada 2004, tahun terakhir di mana data boleh didapati di kesemua 192 negara yang terlibat dalam kajian itu.
Apabila ditambah kepada 5.1 juta kematian melibatkan perokok aktif, jumlah kematian akibat amalan merokok bagi 2004 melebihi 5.7 juta orang di seluruh dunia, menurut kajian itu.

Hampir separuh daripada bilangan perokok pasif yang maut adalah wanita, manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan lelaki dalam bilangan yang hampir sama, menurut kajian yang disiarkan hari ini dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet.

Kira-kira 60 peratus kematian itu disebabkan penyakit jantung, manakala 30 peratus lagi akibat jangkitan paru-paru, dan bakinya disebabkan asma dan kanser paru-paru.

Keseluruhannya, kematian akibat menjadi perokok pasif menyamai satu peratus daripada kematian di seluruh dunia pada 2004.

Kematian orang dewasa akibat menyedut asap rokok orang lain adalah hampir sama di semua negara tidak kira negara miskin atau kaya.

Namun bagi kanak-kanak, kemiskinan menjadikan keadaan bertambah buruk, menurut kajian itu.

Misalnya di Eropah yang berpendapatan tinggi, nisbah kematian orang dewasa berbanding kanak-kanak adalah sebanyak 35,388 berbanding 71.

Nisbah di Afrika hampir terbalik iaitu 9,514 kematian orang dewasa berbanding 43,375 kematian kanak-kanak. - AFP
Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.
lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

sumber

Tiada ulasan: