"Salam Sejahtera..."
PPSMI tidak jejas pencapaian di Kelantan.
KOTA BHARU 30 Dis. - Pencapaian pelajar negeri ini bagi tiga subjek dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains terus mencatat keputusan lebih baik pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, ia membuktikan pelaksanaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan prestasi pelajar.
''Mata pelajaran Bahasa Inggeris tahun ini mencatat 69.58 peratus berbanding 66.6 peratus pada tahun lepas dan 66.3 peratus pada tahun 2006.
''Matematik mencatat 89.16 peratus, 2007 (88 peratus) manakala 2006 (85.2 peratus).
''Tahun ini mata pelajaran Sains turut meningkat kepada 92.41 peratus berbanding 91 peratus tahun lalu dan 91.4 peratus pada tahun 2006," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, keseluruhannya, keputusan PMR tahun ini tidak jauh bezanya dengan tahun lepas dengan pencapaian Gred Nilai Purata (GNP) 2.79 peratus berbanding 2.80 peratus tahun lepas.
''Seramai 31,346 calon menduduki peperiksaan dengan 1,517 daripadanya memperoleh Gred A atau 4.84 peratus.
''Saya bersyukur kerana trend tiga tahun pencapaian murid dalam PMR menunjukkan kestabilan kuantiti dan kualiti.
'' Lebih membanggakan tiga Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) luar bandar termasuk Bachok, Kuala Krai dan Jeli turut menunjukkan peningkatan," katanya.
Katanya, jumlah pelajar yang mencatat kecemerlangan atau keseluruhan A di jajahan Bachok meningkat daripada 76 pelajar tahun lepas kepada 119 pelajar.
19 pelajar 9A SMK Lembah Bidong dapat RM500
SETIU 30 Dis. - Sebanyak 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong dekat sini yang mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini bakal menerima RM500 setiap seorang daripada pihak sekolah.
Pengetuanya, Romeli Ismail berkata, sumbangan yang diagihkan kepada para pelajar terbabit adalah bagi menghargai kecemerlangan mereka dalam peperiksaan tersebut.
Menurutnya, 60 pelajar lain yang mendapat 8A dalam peperiksaan tersebut juga akan mendapat wang sagu hati sebanyak RM100 seorang.
Jelasnya, pemberian wang tunai itu adalah sebagai dorongan kepada para pelajar lain di sekolah tersebut supaya mereka berusaha dengan lebih gigih dalam peperiksaan akan datang.
''Wang sumbangan ini adalah hasil sumbangan orang perseorangan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lembah Bidong," katanya di sini hari ini.
Kesemua 153 pelajar yang mengambil PMR di sekolah itu lulus dalam peperiksaan tersebut.
Dengan kelulusan 100 peratus itu, SMK Lembah Bidong merupakan antara empat buah sekolah menengah di negeri ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR 2008.
Romeli berkata, kecemerlangan pelajar terbabit adalah hasil kerjasama, kemahuan serta kegigihan yang tinggi di kalangan ibu bapa, guru-guru dan pihak pengurusan sekolah.
41 anak petani, peneroka raih semua A
MARAN 30 Dis. - Seramai 41 pelajar yang terdiri dari anak pekebun kecil, petani dan peneroka Felda di daerah ini memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 yang diumumkan hari ini.
Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Rosdi Ismail berkata, dengan keputusan cemerlang itu, para pelajar terbabit membuktikan mereka setanding dengan pelajar lain di daerah Kuantan, Pekan dan Raub.
Beliau berkata, berdasarkan statistik keputusan PMR 2008 itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mendahului sekolah lain apabila 10 pelajarnya memperolehi 9A dan empat orang mendapat 8A dalam semua subjek yang diambil.
''Kejayaan cemerlang SMK Jengka Pusat itu diharap menjadi dorongan kepada warga sekolah itu untuk mencatat keputusan yang lebih cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, sekolah lain yang turut mencatat keputusan cemerlang semua A bagi semua subjek ialah SMK Jengka 16 dan SMK 18 (dua pelajar), SMK Tengku Ampuan Afzan (tiga pelajar), SMK Jengka 6 dan SMK Desa Jaya (satu pelajar), SMK Maran (dua pelajar) dan SMK Jengka 2 (satu pelajar).
Sementara itu SMK Seri Jengka terus mengekalkan reputasinya apabila mencatatkan 11 calon mendapat 9A dan 4 calon memperoleh 8A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Katanya, SMK Seri Jengka turut memperoleh keputusan 100 peratus sejak beberapa tahun lepas dan menduduk rangking 10 sekolah terbaik di negeri Pahang.
Pengetua SMK Seri Jengka, Datin Fatimah Kasim menyifatkan kejayaan sekolah itu adalah hasil kerja kuat semua pihak termasuk guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIB)G, wakil rakyat dan pelajar.
''Bagaimanapun pihak sekolah akan berusaha lebih mantap supaya keputusan PMR 2009 lebih baik lagi,'' katanya.
Anak tukang cuci dapat 8A
JASIN 30 Dis. - Anak tukang cuci di Hospital Melaka (HM) muncul seorang daripada 879 pelajar di negeri ini yang berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008, yang diumumkan hari ini.
Nurul Adha Khamis adalah antara 88 calon PMR 2008 dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah yang mencatat keputusan cemerlang itu, yang melayakkan sekolah tersebut tersenarai antara tiga terbaik di Melaka.
Menurutnya, walaupun keluarganya hidup dalam serba kekurangan namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
''Sebaliknya kesusahan keluarga mendorong saya belajar bersungguh-sungguh dan saya akan pastikan mendapat keputusan cemerlang juga dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi," katanya.
Anak ketiga daripada sembilan beradik itu ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tedong Pantai, Merlimau di sini hari ini.
Bapanya, Khamis Harun, 53, hanya berpendapatan RM500 sebulan dan terpaksa membuat kerja sampingan menjual kuih-muih yang dibuat ibunya, Asmah Nasir, 40, kepada rakan sekerja.
Ujarnya, bagi memastikan kesemua anaknya mendapat pendidikan yang sempurna, hampir setiap hari bapanya membawa kuih-muih tersebut untuk dijual di HM.
Anak tukang sapu berjaya catat 9A
KUALA TERENGGANU 30 Dis. - Tekad untuk mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan mendorong Mohd. Firdaus Radzali untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Atas Sultan Zainal Abidin itu mahu mengubah nasib keluarga kerana tidak rela melihat ibu dan ayahnya berterusan bekerja sebagai tukang sapu dan nelayan.
Anak keenam daripada lapan beradik itu menjadikan kepayahan kedua orang tuanya untuk cemerlang dalam pelajaran seterusnya memperbaiki nasib mereka sekeluarga.
''Melihat kepayahan hidup kami, saya menanam tekad untuk berjaya dan ubah kehidupan keluarga," ujarnya ketika ditemui di sekolahnya selepas pengumuman keputusan PMR di sini hari ini.
Mohd. Firdaus yang bercita-cita menjadi doktor memberitahu, belajar secara berkumpulan merupakan cara yang paling berkesan untuk memahami pelajaran.
''Biasanya, saya bersama rakan-rakan sekelas akan berbincang sesama sendiri untuk lebih memahami matapelajaran terutama yang sukar," ujarnya.
Sementara itu, kegigihan mengulang kaji pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa di dalam kelas, menjadi kunci kepada Wan Nur Fatihah Wan Jaafar, 15, dari Sekolah Menengah Belara, Manir memperoleh 7A.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, selain memberi tumpuan kepada pelajaran, dorongan ibu bapa dan guru termasuk pengetua sekolahnya, Abdullah Mamat memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan