22 Disember 2008

Sebat perogol


"Salam Sejahtera..."

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Hrkh) -

Meskipun hukuman ke atas pesalah rogol yang termaktub dalam Kanun Kesiksaan dan Tatacara Jenayah amat berat dengan rotan mungkin boleh dikenakan berpuluh kali sebatan, namun kaedah itu dilihat sukar menyedarkan pesalah jenayah ini.
Di dada-dada akhbar, seringkali dapat dilihat mengenai laporan pesalah rogol yang kembali melakukan kerja terkutuk itu kerana tidak serik dengan hukuman yang dikenakan ke atas mereka.
Hal ini turut dibincangkan di Dewan Rakyat semalam, dengan wakil Ipoh Barat, M Kulasegaran menyatakan bahawa pesalah rogol sedikitpun tidak merasa sedar dengan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas mereka.
Lantas, mereka mengulangi perbutan itu berulang kali, dan ada di antara mereka menjadi pesalah 'hardcore' yang sudah lali dengan perbuatan tersebut, katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Kesiksaan (Pindaan) 2004 di Dewan Rakyat semalam.
Mencelah dalam perbahasan Kulasegaran itu, Salahuddin Ayob (PAS Kubang Kerian) mencadangkan agar pesalah rogol disebat di khalayak ramai bagi menerbitkan rasa malu dan insaf pesalah, katanya.
Menurut Salahuddin, kaedah ini disebut dalam undang-undang Islam dan mampu membawa kesedaran bukan sahaja kepada pesalah tetapi kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama, katanya.
Salahuddin berkata, hukuman sebat yang sedia ada yang dibuat dalam penjara secara tertutup tidak mampu menyedarkan pesalah kerana, ianya hanya mengundang kesakitan yang melampau tetapi tidak menerbitkan rasa bersalah.
Sebaliknya jika mengikut kaedah sebatan di khalayak ramai yang dianjurkan Islam bagi kesalahan penzina, ianya tidak bertujuan menyakitkan kerana mempunyai kaedah rotan dengan kesakitan yang tidak melampau.
Tetapi dengan mengadakan hukuman di khalayak ramai, ianya akan memberi rasa malu kepada pesalah dan kesedaran kepada orang awam, terangnya lagi.
Menyokong pandangan Salahuddin itu, Mohd Yusop Majid (BN Setiu), berkata cadangan sebat di khalayak ramai akan memberi kesedaran kepada pesalah dan masyarakat.
"Orang lain yang lihat hukuman ini boleh sedar untuk tidak terlibat," katanya.
_

Tiada ulasan: