24 Disember 2008

Kanak-kanak aktif

"Salam Sejahtera..."

Satu kaji selidik yang dijalankan Asian Food Information Center (AFIC) terhadap kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun di empat buah bandar raya Asia, termasuk Kuala Lumpur pada 2002 menunjukkan bahawa kanak-kanak Malaysia memiliki gaya hidup yang tidak aktif.
Mereka banyak menghabiskan masa menonton televisyen atau bermain komputer dan permainan video. Semasa cuti sekolah pula, kira-kira 30 peratus kanak-kanak Malaysia menonton televisyen lebih lapan jam sehari (Consumers International, 2004).
Kaji selidik ini juga menunjukkan kebanyakan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu lebih gemar bermain komputer atau menonton televisyen (AFIC, 2002), berbanding keluar bermain dengan kawan mereka.
Kebanyakan ibu bapa juga terlalu sibuk dengan kerja rumah dan pejabat sehingga mengabaikan masa bermain dengan anak yang sedang membesar.
Trend ini agak membimbangkan kerana gaya hidup tidak aktif yang dilalui oleh kanak-kanak ini boleh membantutkan perkembangan holistik mereka. Ia juga boleh menyumbang kepada masalah berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut pakar psikologi perkembangan, Elaine Yong, gaya hidup tidak aktif dalam kalangan kanak-kanak akan mengganggu perkembangan mereka kerana aktiviti fizikal boleh membantu kanak-kanak memperkembang kemahiran motor dan kebolehan intelektual mereka.
Perkembangan kanak-kanak
Menganggap kanak-kanak adalah golongan yang sudah semula jadinya aktif merupakan satu mitos kerana mereka masih memerlukan aktiviti fizikal, sekurang-kurangnya berbasikal, berjalan-jalan, belajar aktiviti baru atau bersukan bersama kanak-kanak lain.
Di peringkat awal, pada usia 3 hingga 6 tahun, kanak-kanak biasanya akan menguasai kemahiran seperti berlari, memanjat, melompat dan sebagainya. Tempoh ini amat penting bagi ibu bapa menggalakkan lagi perkembangan anak-anak dengan membiarkan mereka bebas bermain dengan aktiviti luar rumah.
"Pada ketika inilah, mereka berlatih menyelesaikan masalah dan memupuk kemahiran sosial sewaktu bermain. Misalnya, mereka belajar menjadi seorang pemimpin di dalam satu-satu permainan," jelas Elaine.
Elaine berpendapat, secara tidak langsung ibu bapa dapat melihat peningkatan dan perkembangan dalam diri anak-anak yang sedang berusaha menguasai kemahiran baru. Sikap, kesihatan dan tahap keyakinan mereka juga akan meningkat.
Jangan terlalu melarang
Kanak-kanak yang pemalu dan gemar bersendirian, atau lebih suka aktiviti dalam rumah seperti menonton rancangan kartun atau bermain dengan anak patung, seharusnya diberi peluang dan digalakkan merasai keseronokan sebenar dengan membiarkan mereka berpeluh.
Membiarkan anak-anak berpeluh adalah proses fizikal yang baik. Ia merupakan cara tubuh menguruskan tekanan dan rasa panas di dalam badan, katanya.
Perunding Kanak-kanak dan Pakar Neonatalogi Pusat Perubatan PrinceCourt, Dr. Anna Padmavathy Soosai, pula berkata, bukan sahaja anak, ibu bapa juga perlu bermain bersama mereka dan menjadikannya aktiviti sekeluarga.
"Jika anak suka berpeluh, biarkan sahaja. Kanak-kanak yang berpeluh adalah bagus dan normal. Ibu bapa janganlah terlalu risau. Kalau jatuh, dia akan bangun dan main semula. Elakkan terlalu banyak perkataan 'jangan' dan 'larang'.
"Ini adalah tempoh penting untuk kita sebagai ibu bapa menyokong perkembangan anak-anak. Dalam erti kata lain, carilah aktiviti yang boleh membuatkan mereka aktif dan bergerak ke sana dan ke mari," jelas Dr. Padma.
Dalam memupuk dan mengajar anak bermain, Dr. Padma turut menyarankan ibu bapa supaya mencari permainan atau aktiviti yang bersesuaian dengan usia anak. Galakkan mereka bermain mengikut usia. Apa sahaja permainan dan aktiviti perlu bersesuaian dengan usia mereka.
"Ibu bapa juga perlu main bersama dan menjadi role model kepada anak-anak. Jangan pula masa suruh anak-anak buat aktiviti, ibu bapa duduk berjam-jam di depan televisyen," katanya.
Dr. Padma berpendapat, sungguhpun terbatas dengan waktu, ibu bapa tetap perlu mencari ruang untuk diluangkan bersama anak-anak. Aktiviti tidak perlu mahal, yang penting bawa anak-anak keluar dan kreatif mencipta permainan.
Beliau turut menekankan kepada ibu bapa agar tidak terlalu tertumpu semasa aktiviti dijalankan, tetapi turut mengambil kira waktu yang diluangkan sebelum dan selepas setiap aktiviti dijalankan.

Tiada ulasan: