08 Julai 2008

Ternak keli


Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sasaran pertumbuhan tahunan bagi perikanan akuakultur yang digariskan ialah 21.5 peratus manakala pengeluaran produk sebanyak 662,000 tan metrik.
RMK-9 yang akan tamat dalam tempoh lebih dua tahun lagi, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran dalam subsektor akuakultur termasuk menambah bilangan pengusaha.
Bidang akuakultur ini sebenarnya meliputi banyak aktiviti sama ada ternakan kolam, sangkar, tangki yang semuanya sesuai untuk ternakan ikan dan sebahagiannya untuk udang, selain kerang-kerangan dan rumpai laut.
Kemunculan teknologi baru merancakkan lagi industri akuakultur antaranya dengan pengenalan air kitar semula, dalam kanvas dan pembersihan air menggunakan penapis biologi atau mikroorganisme.
Terbaru dan paling mendapat sambutan ialah penggunaan teknologi ternakan ikan dalam kanvas khususnya untuk keli yang dikatakan sesuai kerana sifat tahan lasak.
Kini, konsep ternakan keli dalam kanvas menjadi popular dan diperkatakan oleh mereka yang mula berjinak-jinak dengan pertanian.
Mereka seakan lupa bahawa ternakan menggunakan kanvas sebenarnya satu teknologi tinggi yang memerlukan pengetahuan mendalam sebelum menceburkan diri.
Persoalannya, bagi yang berminat, di mana teknologi tersebut boleh diperoleh?
Bagi menampung permintaan tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Active Surge Sdn. Bhd. (ASSB) menawarkan teknologi yang dibangunkan bersama sistem pemakanan lengkap dan sistematik.
ASSB ditubuhkan pada 2005 untuk menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui akuakultur.
Syarikat yang beroperasi di Taman Desa Subang, Shah Alam Selangor ini pada awalnya terlibat dalam, bidang akuakultur secara kecil-kecilan.
Namun, ia menempa sejarah selepas kejayaan memperkenalkan teknologi ternakan ikan air tawar dalam kanvas dengan penggunaan makanan dan sistem rawatan organik.
Menurut Pengarah Teknikal ASSB, Izam Md. Nor, kajian yang dilakukan tertumpu kepada penggunaan kanvas dalam ternakan ikan air tawar dan pada masa sama, mengaplikasikan produk bioteknologi untuk pemakanan dan sistem rawatan organik.
Beliau berkata, teknologi itu dikenali sebagai Akuakultur Kitar Semula Dengan Penggunaan Sistem Bioteknologi (RAWBITE) yang terdiri daripada empat komponen utama.
Komponen-komponen terdiri daripada Activated Carbon (AC), BioMutiara Fish (BMF) Bio Mutiara Feed Additive Fish (BMFAF) dan Bio Mutiara Anti Odour (BMAO).
“Teknologi RAWBITE ini diaplikasikan serentak dalam sistem ternakan ikan air tawar dan setakat ini kita menggunakan pelbagai spesies ikan keli,'' katanya ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Shah Alam baru-baru ini.
Saiz kanvas yang disyorkan ialah 10 kaki x 4 kaki dalam bangunan, manakala 15 x 4 kaki di luar bangunan pada ketinggian air sehingga dua kaki.
Saiz tersebut boleh menampung kira-kira 1,500-1,800 ekor ikan keli manakala air yang digunakan bebas klorin.
Produk bioteknologi organik yang dihasilkan digunakan dalam sistem ternakan bagi menghilangkan bau, sebagai penapis selain makanan ikan dalam bentuk pelet.
Pada masa ini, syarikat memasang sistem tersebut 58 kolam kanvas di ibu pejabat dengan sistem penjagaan yang minimum.
Namun menurut Izam, selaras konsep Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Air Tawar bersama agensi lain termasuk bank dan Projek Ternakan Ikan Air Tawar Organik Aplikasi Bioteknologi, ASSB menawarkan pakej kepada bakal pengusaha yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang akuakultur.
Pakej tersebut menawarkan 10 kolam kanvas, 18,000 ekor anak ikan dan empat produk bioteknologi serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
Kemudahan infrastruktur termasuk kerangka kolam, kanvas, pam air dan turas, pam udara dan aksesori, pam penyelenggaraan, sistem penapisan RAWBITE, sistem saliran RAWBITE, pH meter dan upah pemasangan.
Menurut Pengerusi ASSB, Mohd. Nor Osman, pakej tersebut ditawarkan kepada mereka yang berminat dalam tempoh empat tahun menerusi konsep perladangan kontrak manakala ikan yang dihasilkan, akan dibeli semula oleh syarikatnya dengan harga RM4.50 sekilogram.
Menerusi teknologi tersebut ikan keli dapat dituai selepas tiga bulan dengan saiz lima atau enam ekor sekilogram.
Kontrak boleh diperbaharui berdasarkan kepada prestasi peserta.
Setakat ini, ASSB mampu memasang hampir 200 modul atau 2,000 kolam di Semenanjung Malaysia dan dijangka meningkat dari masa semasa.
“Syarikat menyasarkan 200 modul atau 2,000 kolam lagi, dalam masa terdekat bagi melengkapkan jumlah 4,000 kolam,'' ujar Izam.
Syarikat terbabit juga menawarkan perkhidmatan pembekalan benih yang berkualiti dan kadar pertumbuhan yang baik supaya bekalan sentiasa diperoleh.
Pada masa ini, pengeluaran benih dihasilkan dengan kerjasama vendor di Melaka dan Pusat Pembenihan, di Salak Tinggi, Sepang manakala mereka yang berhasrat mempelajari teknik pembenihan aruhan dengan ASSB akan dilatih di Sepang, Selangor.
ASSB juga mempunyai kilang sejuk beku yang menjadi pusat operasi menyiang serta disejukbekukan untuk memproses ikan tersebut kepada serunding, sardin dan produk lain.
Bagi memenuhi permintaan makanan ternakan ikan yang tinggi, syarikat itu mengambil inisiatif membuka kilang memproses makanan ikan sendiri di Terengganu bersama Syarikat Nu Infra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Koperasi kami mempunyai ramai ahli yang berminat menceburi ternakan keli. Sila emailkan maklumat lanjut sistem ternakan keli tersebut untuk diusahakan oleh ahli2 koperasi kami.

AD
Koperasi USahawan Siswazah Selangor
012 9750686