25 Jun 2008

Amanah Saham Bumiputera

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2007: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 8.00 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.

Kadar pengagihan pendapatan ini meningkat sebanyak 0.70 sen seunit berbanding kadar yang diagihkan tahun lalu iaitu 7.30 sen seunit.

Kadar bonus pada tahun ini ialah 1.00 sen seunit berbanding 1.25 sen seunit pada tahun lalu.

Jumlah pengagihan pendapatan dan bonus sebanyak 9.00 sen seunit pada tahun ini merupakan peningkatan sebanyak 0.45 sen seunit berbanding pada tahun lalu sebanyak 8.55 sen seunit.


Pengagihan pendapatan tersebut akan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM4,290 juta, peningkatan sebanyak RM798 juta atau 22.85 peratus, berbanding dengan RM3,492 juta yang dibayar pada tahun lalu.

Sementara itu, pembayaran bonus pula membabitkan peruntukan sebanyak RM354.47 juta.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji berkata, seramai 6.35 juta pemegang unit yang telah melanggan sejumlah 55.22 bilion unit ASB akan menerima manfaat daripada pengagihan pendapatan itu.

Sehingga 13 Disember, 2007, ASB telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM5,130 juta, kenaikan sebanyak RM1,159 juta atau 29.19 peratus berbanding dengan RM3,971 juta yang diperolehi dalam tahun kewangan 2006.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM2,811 juta atau 54.80 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Keuntungan daripada penjualan pelaburan menyumbang sebanyak RM2,005 juta atau 39.08 peratus. Selebihnya RM314 juta atau 6.12 peratus diperolehi melalui pendapatan pelaburan instrumen jangka pendek.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2007. Manakala, pengiraan bonus pula adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan untuk tempoh 10 tahun dari tahun 1998 sehingga 2007.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan masing-masing. Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing mulai 2 Januari 2008.

Semua urusniaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan pada 21 Disember, 2007 sehingga 1 Januari, 2008 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan yang berharga tetap, disasarkan kepada Bumiputera yang berumur 12 tahun dan ke atas dengan matlamat menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten serta pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Tiada ulasan: