21 September 2010

Israel usir penduduk bangsa Arab


BAITULMAQDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menggesa supaya semua warga Israel berbangsa Arab diusir keluar daripada tanah air mereka sendiri yang dirampas Israel pada 1948, Ahad lalu.

Cadangan biadap Lieberman itu dikeluarkan semasa proses terbaru rundingan damai Israel dan Palestin sedang berjalan.

Penduduk berbangsa Arab di Israel kebanyakannya adalah warga asal Palestin yang masih tinggal di kawasan yang ditakluki rejim itu sejak 62 tahun lalu dan mempunyai kewarganegaraan Israel.

Menteri itu juga menolak asas rundingan yang diguna pakai selama ini, iaitu 'tanah untuk keamanan' sebalik�nya menegaskan prinsip rundingan harus berdasarkan pertukaran tanah dan penduduk.

Menurutnya, Tel Aviv perlu merangka semula sempadan Israel dan mengusir semua warga Arab yang berada di negara itu selain menyatukan penduduk Yahudi di penempatan haram di Tebing Barat. "Pemindahan keluar semua penduduk Arab Israel adalah perlu kerana pemimpin dari kalangan mereka ini tidak menerima hak Israel untuk wujud di peta dunia," katanya.

Rundingan damai terbaru antara Israel dan Palestin bermula awal September lalu di bawah tekanan Amerika Syarikat, selepas proses itu terhenti selama dua tahun akibat serangan Israel ke atas Genting Gaza pada 2008.

Pembinaan penempatan haram Yahudi di atas bumi Palestin menjadi isu utama dan halangan terbesar bagi mencapai persetujuan dalam proses rundingan itu.- Sinar Harian.

Tiada ulasan: