21 September 2010

Jual tanah kepada Israel dihukum mati


BAITULMAQDIS - Penjualan tanah milik Palestin kepada Israel adalah satu kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman mati, menurut perintah sebuah mahkamah Pihak Berkuasa Palestin (PA), kelmarin.

Keputusan mahkamah itu dianggap berpatutan oleh pegawai kerajaan PA yang melihat langkah itu sebagai perlu bagi menjamin penubuhan negara Palestin pada masa depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Palestin, Ta’et At-Twil mengeluarkan perintah bahawa penjualan atau cubaan menjual tanah kepada negara asing adalah kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Pejabat Pendakwaraya Palestin menegaskan perintah terbaru itu dikeluarkan untuk melindungi misi utama negara Palestin, iaitu untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Mahkamah tentera Palestin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada seorang lelaki kerana menjual tanah yang bukan miliknya kepada sebuah syarikat Israel di perkampungan Baitul Ummar, tahun lalu.

Penjualan tanah Palestin kepada Israel dianggap sebagai pengkhianatan kerana pertelingkahan berpanjangan kedua negara berhubung isu rampasan tanah Palestin oleh rejim Zionis itu.- Sinar Harian : 21 September 2010

Tiada ulasan: