18 September 2011

Jenis-jenis Nafsu

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' 'Ulum al-Din dan Mukhtashar Ihya' 'Ulum al-Din menyebut nafsu itu ada tiga Martabat iaitu:-

1) Nafsu al-Ammarah

Iaitu nafsu yang menyuruh melakukan segala maksiat dan kejahatan, dan tidak pernah menyuruh melakukan kebaikan serta tidak pula mencela (kesal) melakukan kejahatan. Pada tahap ini hati nurani tidak akan mampu untuk memancarkan sinarnya kerana hijab-hijab dosa yang melekat tebal. Dan tidak ada usaha untuk mencari jalan menyucikannya. Kerana itulah hatinya terus kotor dan diselaputi oleh pelbagai penyakit. Inilah martabat nafsu yang rendah sekali.

2. Nafsu al-Lawwamah

Nafsu lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri bila berlaku suatu kejahatan dosa atas dirinya. Ianya lebih baik sedikit dari nafsu amarah. Kerana ia tidak puas atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu mencela dan mencerca dirinya sendiri. Bila buat silap dia lebih cepat sedar dan terus kritik dirinya sendiri. Perasaan ini sebenarnya timbul dari sudut hatinya sendiri bila buat dosa, secara automatik terbitlah semacam bisikan dilubuk hatinya. Inilah yang di katakan lawwamah. Golonagn ini baramal tetapi masih ada riak, hasad dengki dan sebagainya.


3. Nafsu al-Muthmainnah

Seseorang yang telah istiqamah dalam melakukan ibadah dan tidak lagi tergerak hati untuk melakukan maksiat, sama ada zahir atau batin, hatinya telah suci dan nafsunya telah fana daripada terdorong kearah perkara keji. Mereka mendapat ketenangan dan hilang gelisah di jiwa, mereka adalah wali kecil.


Antara sifat-sifat maqam ini adalah:
1. Taqwa yang benar.
2. Arif
3. Syukur yang benar
4. Tawakkal yang hakiki
5. Kuat beribadat
6. Redha dengan ketentuan Allah
7. Murah hati dan seronok bersedekah.
8. Dan lain-lain sifat mulia yang tidak dibuat-buat.

Al-'Arif Billah Syaikh Qasim al-Halaby dalam kitabnya Sair al-Suluk, menyebut nafsu itu ada 7 martabat, selain tiga yang di atas ditambah 4 lagi iaitu:-
 

4. Nafsu Mulhamah.

Nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang tercemar melalui beberapa latihan. Sifat orang yang telah sampai pada tahap ini ialah rindu, menangis, susah hati enggan terhadap semua makhluk, sibuk beribadah.

Antara sifat-sifat yang bernafsu mulhamah:

1. Sifat-sifat ketenangan,lapang dada dan tidak putus asa.
2.. Tak sayangkan harta
3. Qanaah.
4. Berilmu laduni
5. Merendah diri/ tawwadu’

5. Nafsu al-Radhiyah

Maqam ini dinamakan radhiyah kerana perasaan keredhaan pada segala ketentuan dan hukuman Allah. Pada maqam ini sudah tidak ada rasa takut dengan pada bala Allah dan tak tahu gembira dengan nikmatNya. Sama sahaja. Apa yang penting Allah redha padaNya. Itu kalau sakitpun dah tak perlu kepada ubat, sebab bagi dia sakit itulah nikmat kerana dia merasa makin dekat dengan tuhannya. Wang ringgit sudah sama dengan daun kayu. Emas sama dengan tanah. Dunia sudah dipandang kecil , malah sudah tidak dipandang lagi sebaliknya dunia yang datang kepadanya.

Sifat-sifatnya:

1. Ikhlas
2. Warak
3. Zahid
4. Dan lain-lain lagi yang baik yang ada pada maqam sebelum ini

6. Nafsu al-Mardhiyyah

Pada peringkat ini segala yang keluar darinya semuanya telah diredhai Allah. Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredaan dan keizinan Allah belaka. Akan keluar keramat yang luar biasa. Mereka sudah menanam ingatan pada Allah diteras lubuk hati mereka menerusi cara "khafi-filkhafi", maknanya secara penyaksiaan 'basitiah' iaitu penyaksian sifat ma'ani Allah yang nyata dan dizahirkan oleh diriNya sendiri. Af'al diri mereka sudah dinafi dan diisbahkan secara langsung kepada af'al Allah semata-mata.Jiwa mereka betul-betul sebati, ingatan mereka terhadap Allah tidak sesaatpun berpisah darinya. Penyaksiaan terhadap hak sifat Allah jelas baginya sehingga hilang dirinya nya sendiri.
Sifat-sifatnya:

1.. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
2. Lemah lembut pergaulannya
3. Elok dan tingginya budi
4. Lain-lain sifat terpuji maqam sebelum ini.

7. Nafsu al-Kamaliah

Maqam ini adalah tertinggi. Maqam ini digelar sebagai "baqa billah", Kamil Mukamil", Al Insan kamil kerana ia dapat menghimpunkan antara zahir dan batin, yakni ruh dan hatinya kekal kepada Allah tetapi zahir tubuh kasarnya tetap dengan manusia. Hati mereka kekal dengan Allah tak kira masa dan tempat, tidur atau jaga sentiasa mereka bermusyahadah kepada Allah. Ini adalah maqam khawas al khawas. Semua gerak geri mereka sudah jadi ibadat. Hatta berak kencing mereka, tidur mereka dan sebagainya.

Tiada ulasan: