24 Ogos 2011

Saat Akhir Ramadan...di Makkah.

MAKKAH: Ratusan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri Masjidilharam untuk mengerjakan ibadah umrah, menunaikan solat Tarawih dan qiamullail bagi mencari keberkatan malam Lailatulqadar.
Jabatan Pertahanan Awam di Makkah memberikan akhbar Arabnews peluang yang sangat jarang untuk merakamkan gambar Masjidilharam pada malam 21 Ramadan yang jatuh pada Sabtu melalui helikopter jabatan itu dengan inisiatif Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Muhammad al Harbi.

Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya, merupakan kawasan yang sesak dengan kenderaan membawa jemaah dan orang ramai yang mahu beribadah.

Sebaik saja Ramadan menghampiri fasa terakhir masjid di seluruh Arab Saudi mula menganjurkan ibadat qiamullail termasuk solat malam.

“Solat istimewa ini dilaksanakan pada malam 10 hari terakhir Ramadan mulai jam 1 pagi,” kata imam di Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah, Riyadh.
Tempoh 10 malam terakhir Ramadan lebih penting kerana al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatulqadar. Justeru, amalan baik umat Islam akan diberi ganjaran besar, kata imam itu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah mengeluarkan arahan supaya semua masjid dibuka untuk jemaah sepanjang malam pada malam 10 Ramadan terakhir.
Imam berkata masjid dibuka kepada orang ramai pada waktu malam untuk mereka membaca al-Quran dan melaksanakan solat sunat. – Agensi - http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan: