KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengarahkan semua bahagian penguat kuasa kementerian tersebut di seluruh negara supaya membuat pemeriksaan aktiviti jualan telur tiruan.
Beliau yang sedih dan kesal dengan sikap peniaga yang menggunakan taktik kotor untuk mengejar keuntungan turut meminta orang ramai membantu menyalurkan maklumat.
"Saya melihat penjualan telur tiruan sangat serius dan mahu bahagian penguat kuasa menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada," tegasnya.
Lian Hoe memberitahu, dalang di sebalik penjualan telur tiruan itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan juga akta lain yang mungkin berkaitan.
Katanya, tindakan itu perlu diambil bagi mengekang kegiatan tersebut daripada tersebar ke seluruh negara.
Pada Rabu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa terdapat telur ayam tiruan dijual di Pulau Pinang berikutan aduan seorang pembeli yang dipercayai membeli 30 biji telur itu di pasar awam Pulau Tikus pada Selasa lalu.
Ekoran pendedahan itu, Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri telah merampas sebanyak 270 biji telur untuk dibuat kajian bagi mengesahkan perkara tersebut.
Lian Hoe berkata, ketika ini terdapat seramai 1,900 orang pegawai penguat kuasa dan 1,300 orang pemantau harga bertugas di seluruh negara.
"Bilangan penguat kuasa kita tidak ramai jadi saya berharap pengguna juga dapat turut sama membantu kami untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa kementerian itu, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, sampel telur tiruan yang dirampas kelmarin telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Veterinar untuk dianalisis.
"Keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat dan difahamkan telur tersebut merupakan telur import," katanya.
Kenali telur tiruan:-
1. Kulit berkilat & kasar dari telur sebenar.
2. Bau berbeza.
3. Berbunyi kuat bila digoncang
4. Putih & kuning nipis serta akan bercampur bila dipecahkan.
5. Tiada lapisan kulit pada bahagian dalam.
SuMbeR_KosMo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan