29 Mac 2011

Cop Injil: Paderi timbang heret KDN ke mahkamah


Keputusan kerajaan untuk mengecop 'Untuk Kristian Sahaja' ke atas 5,100 alkitab Injil berbahasa Indonesia yang ditahan baru-baru ini mungkin dibawa ke mahkamah, kata seorang peguam.
Menurut Annou Xavier, beliau dihubungi oleh beberapa paderi yang bercadang mengheret Kementerian Dalam Negeri ke ke mahkamah kerana berpendapat hak mereka sebagai penganut agama Kristian telah dicabuli.

Katanya, cop berkenaan pada alkitab secara tidak langsung menafikan hak penganut Kristian bagi mengembangkan kepercayaan mereka kepada masyarakat bukan Islam.

Merujuk Artikel 11 (4) perlembagaan persekutuan, Annou berkata sekatan hanya adalah terhadap mengembangkan agama kepada masyarakat Islam tetapi tidak menyatakan apa-apa bila membabitkan masyarakat bukan Islam.

Artikel 11 (4) berbunyi: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.

Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

dipertik dari MalaysiaKini.com
Persatuan Paderi Sarawak menuntut agar 30,000 salinan alkitab Injil dalam bahasa Melayu yang ditahan oleh Kementerian Dalan Negeri di Kuching dibenarkan masuk pada kadar segera.

“Penahan kitab-kitab itu sejak Januari lalu adalah satu bentuk pencabulan dan bercanggah dengan jaminan kebebasan beragama bagi masyarakat Kristian di Sarawak,” kata pengerusi kumpulan itu, Daron Tan pada sidang akhbar di Kuching semalam.

Alkitab yang dirampas itu kini ditempatkan di pejabat kementerian dalam negeri di Jalan Satok. Mereka dikatakan dihalang daripada mengambil Injil itu dengan alasan ia mengandungi kalimah Allah.

Persatuan Paderi Sarawak itu dianggota oleh Persatuan Mubaligh Kuching, Persatuan Paderi Miri, Persatuan Paderi Sibu, Persatuan Paderi Bintulu dan Gempuru Besai Raban Jaku Iban Malaysia, yang merupakan gabungan gereja-gereja Iban.


dipertik dari MalaysiaKini.com

Tiada ulasan: