Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah, bekas Mufti Besar Arab Saudi, pernah menegaskan :
"Doktor wanita hanya merawat wanita sahaja, dan doktor lelaki hanya merawat lelaki sahaja, melainkan di dalam kes yang darurat, jika seseorang lelaki yang menghidapi penyakit di mana pada masa itu tidak terdapat doktor lelaki, maka di dalam kes ini adalah dibenarkan.” ( Fataawa 'Aajilah li Mansuubii al-Sihhah, m.s. 29 )
Situasi darurat yang membolehkan keadaan rawatan sedemikian juga berlaku di zaman Rasulullah SAW sendiri di mana para wanita Islam memainkan peranan sebagai jururawat di medan peperangan. Mereka ditempatkan di bahagian logistik dan juga perawatan. Mereka merawat dan mengubati anggota tentera yang luka dan parah.
Dalam keadaan sebegini, tidak dapat tidak, pasti berlaku sentuhan kulit dan anggota lainnya, namun hal ini dibolehkan ketika itu, untuk sementara waktu, kerana sifat peperangan yang darurat dan mencemaskan.
Selain itu, di dalam kitab Fathul Qadir jilid 8 halaman 98 ada menyatakan bahawa seorang sahabat Nabi SAW bernama Abdullah ibnu Az-Zubair pernah mengupah dan membayar khidmat seorang wanita tua yang merawat dirinya.
Wajar difahami, bahawa kondisi darurat bukanlah sesuatu yang rutin dan berlaku setiap hari. Justeru, ia hanya bersifat sementara dan perlu diisi sekadarnya sahaja. Tatkala sebab yang menjadikan sesuatu itu darurat, telah luput dan hilang, maka hukum pengharamannya kembali semula.
Ini bersesuaian dengan satu lagi kaedah fiqhiyyah: ad-dharurat tuqaddar bi qadariha, iaitu sesuatu yang darurat itu harus diukur sesuai kadarnya.
Lantaran itu, bagi seorang perempuan yang mengandung, dalam situasi biasa tanpa apa-apa komplikasi, keadaan itu bukanlah sesuatu yang ‘darurat’ yang membolehkannya mendapatkan khidmat rawatan dan pemeriksaan bulanan dari seorang doktor lelaki.
Apa yang amat perlu difahami, tidak ada seorang pun yang dihalalkan untuk melihat aurat seorang wanita, kecuali suaminya. Apatah lagi, aurat ‘besar’nya. Maruah, kehormatan dan harga dirinya, semua itu terhimpun di ‘situ’.
Siapa lagi yang lebih layak dan dapat melindungi, kalau bukan seorang lelaki bernama suami?Tambahan pula dewasa kini, sudah ramai doktor dan pakar sakit puan Muslimah. Justeru, apa lagi alasan untuk tetap bermudah-mudah dalam hukum dan terus tegar menerima rawatan dari doktor berlainan jantina ? Pada saya, hanya satu : Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya!
Akhirnya, marilah kita sama-sama merenungi, bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya untuk selalu berdoa, memohon kepada Allah SWT agar diberi rezeki yang barakah.
“Ya Allah, anugerahkanlah keberkatan kepada rezeki kami, dan peliharalah diri kami dari api neraka.”
Anugerah anak dan zuriat adalah salah satu dari sekian banyak rezeki yang diberikan ILAHI. Justeru, tidak dapat dinafi, bahawa jiwa yang insaf dan sedar untuk memelihara hukum dan menjaga kadar keperluan terhadap keringanan yang ada padanya, InsyaAllah akan menjamin hadirnya keberkatan seiring dengan anugerah yang dikurniakan ini.
Moga-moga, dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT sewaktu kelahiran seorang anak, akan memudahkan pula segala usaha ibu dan bapa untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Seterusnya, berjaya pula menjelmakan generasi Rabbani yang tetap teguh berpegang kepada ajaran dan panduan ILAHI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan