24 Oktober 2010

Sarang burung


Berhati-hati beli produk sarang burung

SEREMBAN 23 Okt.2010 - Orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati ketika membeli atau menggunakan produk sarang burung jenis 'blood nest' kerana ia dikhuatiri mengandungi bahan kimia campuran yang mengancam kesihatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong berkata, sekiranya pengguna meneruskan penggunaan produk sarang burung jenis tiruan tersebut untuk satu jangka masa panjang ia boleh mengakibatkan penyakit kanser.

''Perkara ini amat serius, oleh itu saya berharap supaya orang ramai perlu bijak dan berhati-hati dalam membezakan sama ada produk sarang burung jenis blood nest berkenaan tiruan ataupun asli.

''Salah satu cara mudah untuk membezakannya adalah dengan melihat pada warnanya. Produk tiruan warnanya merah seragam, manakala produk asli hanya memiliki tompok kemerahan, selain itu, produk tiruan menghasilkan bau ammonia tidak seperti yang asli," katanya.

Tee Yong berkata demikian pada sidang akhbar Seminar Sehari Perladangan Burung Walit peringkat Negeri Sembilan di Royale Bintang di sini hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya, orang ramai juga diminta jangan terkeliru dengan menganggap semua produk produk sarang burung jenis 'blood nest' di pasaran mengandungi bahan kimia terlarang itu.

Menurutnya, kementerian juga telah mengenalpasti dua pengilang tempatan termasuk merampas dua jenama produk yang dipercayai telah dicampur dengan bahan kimia tersebut.

''Saya dimaklumkan bahawa pihak terbabit telah disenaraihitam dan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Makanan 1985.

''Perkara ini disedari apabila kita menerima maklumat dan aduan daripada pengimport terbesar sarang burung tempatan kita iaitu China," kata Tee Yong.


Katanya lagi, jumlah eksport produk berkenaan ke negara tersebut mencatatkan perolehan besar iaitu melebihi RM1 bilion setahun.

''Pulangannya amat besar kerana nilai produk sarang burung di pasaran amat tinggi, hingga mencecah RM4,000 sekilo bagi bahan mentahnya, manakala RM8,000 untuk yang sudah diproses," tambahnya.


1 ulasan:

Asrol berkata...

salam,

Kod untuk siaran Radio Rakyat sudah ada update.(25/10/2010)
tolong update kod radio rakyat di blog tuan.

sumber kod boleh dicop dari web rasmi radio rakyat di www.radiorakyat.net

terima kasih atas kerjasama

Asrol- admin radiorakyat.net
web: www.radiorakyat.net
email: radiorakyat@gmail.com