23 Ogos 2010

Hujan Ribut




Pengunjung bazar Ramadan kena waspada kesan La Nina
Hujan ribut petir mampu terbangkan khemah gerai

KUALA LUMPUR:
Orang ramai, terutama peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di kawasan lapang, dinasihatkan berwaspada berikutan ribut petir, terutama pada sebelah petang, dijangka berlarutan sehingga Oktober atau awal November depan kesan daripada fenomena La Nina yang menyebabkan pembentukan awan lebih banyak serta hujan lebat.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, berkata hujan ribut petir itu akan membawa bersama badai atau angin kencang yang bukan saja berupaya menerbangkan objek ringan seperti khemah dan atap zink, tetapi juga boleh mengakibatkan pokok rendang tumbang.

Beliau berkata, kebanyakan hujan ribut petir itu akan melanda selatan Perak sehingga Johor dengan hanya membabitkan kawasan setempat yang kecil pada satu-satu masa, manakala angin kencang pula lazimnya berlaku dalam tempoh singkat sehingga lima minit.

“Hujan ribut petir ini lazimnya berlaku antara jam 4 hingga 6 petang. Sehubungan itu, peniaga dan orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan pada sebelah petang, dinasihatkan supaya berhati-hati. Dicadangkan juga peniaga mengukuhkan pemasangan khemah mereka.

Keadaan hujan ribut petir ini dijangka berlarutan sehingga tibanya musim Monsun Timur Laut pada pertengahan November depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Secara umum, La Nina adalah fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa. Fenomena itu berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di Khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak.

Jumaat lalu, tiga terbunuh, termasuk dua peniaga dan seorang pengunjung, manakala 18 lagi cedera apabila khemah bazar Ramadan di pekarangan Stadium Jasin, Melaka, roboh serta diterbangkan ribut pada kira-kira jam 4.40 petang.

Akhbar semalam pula melaporkan hujan lebat dan angin kencang yang melanda hanya 10 minit menyebabkan 16 kenderaan mengalami kerosakan teruk selepas dihempap kekuda bumbung sebuah pangsapuri di Desa Sepakat, di sini, petang kelmarin. Bagaimanapun, Saw meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang kerana kejadian hujan ribut petir yang melanda kini adalah bukan fenomena atau bencana alam luar biasa.
dipetik dari Berita Harian


Tiada ulasan: