15 Januari 2011

100 bantah peguam pertikai azan Subuh...!

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Lebih 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah di Jalan Pantai Permai di sini, hari ini, sebagai membantah

tindakan seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum berkaitan azan kepada Perdana Menteri, pada Disember lepas.
Memorandum itu antara lain meminta pihak pengurusan masjid berkenaan memperlahankan laungan azan yang didakwa mengganggu tidurnya setiap Subuh sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam.
Mereka yang mewakili persatuan penduduk sekitar Kampung Kerinchi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mula berhimpun secara aman di pekarangan masjid selepas solat Jumaat pada pukul 2 petang.
Kumpulan itu membawa kain rentang dan sepanduk yang tertera tulisan 'Laungan Azan, Laungan Keramat', 'Jangan Main Api' dan 'Islam Agama Kami' serta melaungkan takbir.
NGO yang terlibat antaranya Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda; Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Perhimpunan yang berakhir pada pukul 2.30 petang itu sedikit kecoh apabila ada pihak membakar tiga replika jenazah di luar masjid, namun berjaya dihentikan pihak polis.
Bagaimanapun tiada insiden yang tidak diingini berlaku pada perhimpunan itu.
Pengerusi Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang pada sidang akhbar selepas itu berkata, perasaan penduduk sekitar Lembah Pantai dan NGO Islam amat terhiris dengan tindakan pengadu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu.
Katanya, azan merupakan sebahagian daripada aspek ibadah umat Islam sejak berkurun lamanya dan ia tidak pernah dipersoalkan termasuk oleh penjajah.
Beliau hairan dengan sikap peguam itu yang sepatutnya mahir mengenai Perlembagaan Persekutuan dan mengetahui bahawa Islam adalah agama rasmi negara.
''Ia secara jelas memberi kebebasan kepada rakyat mengamalkan agama yang dianuti mereka. Justeru kami menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap peguam itu sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain sekiranya mahu membangkitkan perkara sama pada masa akan datang," katanya.
Difahamkan, berikutan penghantaran memorandum oleh peguam itu, kariah Masjid Al-Ikhlasiah terpaksa memperlahankan laungan azan sejak dua minggu lalu.
[Malaysiakini, Khamis lalu berjaya mendapat penjelasan daripada ketua imam masjid tersebut - Mahadi Abdullah yang berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan atas arahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.]
Menurut Zakaria, persatuan penduduk dan NGO Islam mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap peguam itu mengikut Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selain itu, penduduk menasihatkan peguam itu supaya berpindah dari tempat tinggalnya sekarang atau menukar kerakyatan kepada negara yang digemarinya.
''Selain itu, kita meminta beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya penduduk di Lembah Pantai," katanya.
UtusanMalaysiakini

Tiada ulasan: