"Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yg menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yg baik serta melarang daripada segala yg salah. Dan mereka yg demikian ialah orang yg berjaya". Surah Ali Imran : ayat 104
08 Disember 2010
TV baru
KUALA LUMPUR - TV AlHijrah yang baru dilancarkan secara rasmi semalam merupakan satu detik bersejarah untuk negara kerana kelahiran sebuah lagi stesen milik kerajaan selepas penubuhan Radio Televisyen Malaysia (RTM) lebih 60 tahun lalu.
Pelancaran stesen ini yang dirasmikan dalam satu majlis yang unik menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan ‘panahan perdana’ dengan melepaskan sebilah anak panah ke sasaran logo TV AlHijrah sebesar meter meter tinggi yang terletak di puncak bangunan Pusat Penyiaran Digital AlHijrah.
Perasmian unik dengan cara memanah ke arah logo TV AlHijrah ini adalah mengambil iktibar daripada Hadis Rasulullah yang berbunyi ‘ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda’.
Pada ucapan perasmian sebelum itu, Najib menjelaskan objektif utama AlHijrah adalah memainkan peranan penting untuk memperkenalkan ajaran Islam sebenar kepada seluruh rakyat di negara ini, tidak kira kepada orang Islam atau bukan Islam.
“Pemahaman ajaran Islam sebenar akan dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam dan pada masa yang sama masyarakat bukan Islam dapat membuang perasaan prejudis dan buruk sangka terhadap Islam supaya mereka tidak lagi fobia apabila disebut perkataan Islam.
“Mereka juga akan yakin bahawa masyarakat Islam tidak bertindak jika tidak diganggu dan pada masa sama mereka adalah rakan yang amat setia,” katanya.
Selain itu, Najib turut mengharapkan TV AlHijrah menjadi medium perpaduan ummah serta menerima stesen TV baru ini sebagai media pendidikan tidak formal untuk mereka.
“Bagi masyarakat bukan Islam, stesen ini diharap akan memperkenalkan kepada mereka ajaran Islam yang betul, harmoni dan membawa kepada kesejahteraan,” katanya.
Katanya lagi, pemilihan tarikh perasmian TV AlHijrah semalam amat bermakna kerana ia jatuh pada tarikh sambutan Maal Hijrah atau 1 Muharram, yang ada kaitan dengan nama stesen TV ini sendiri.
Detik bersejarah pelancaran ini turut disaksikan oleh ratusan dif-dif kehormat, termasuk wakil negara-negara OIC, mufti-mufti negeri, Ketua-Ketua Agama Islam seluruh negara, wakil-wakil media dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
TV AlHijrah adalah stesen TV percuma terbaru berkonsepkan Islam dan kini telah bersiaran melalui 6 pemancar termasuk di Lembah Kelang, Terengganu, Johor Tenggara, Sabah, Sarawak dan terbaru dari Bukit Pelindung, Pahang serta mencakupi 60 peratus penonton di negara ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan