Pembukaan pusat perlindungan tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh, Ahmad Nasiruddin Harun, objektif utama pembukaan pusat tersebut adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi baru lahir yang tidak bersalah daripada dibuang.
“Setiap bayi tersebut berhak untuk hidup dan menjadi tugas kita untuk menyokong kenyataan itu.
“Sehubungan itu kami menyediakan tempat yang selamat untuk bayi-bayi daripada dibuang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pusat perlindungan bayi itu di sini hari ini.
Ahmad Nasiruddin berkata, pusat perlindungan bayi itu cuma bertindak sebagai rumah sementara kepada bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Jika bayi tersebut memerlukan perhatian perubatan, kita akan jaga mereka selama beberapa hari dan sekiranya rawatan lanjut, bayi itu akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” ujarnya.
Beliau memberitahu, orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk menghantar bayi yang diingini ke situ kerana identiti mereka tidak akan direkodkan.
“Kita cuma merekodkan masa bayi itu dihantar dan warna baju yang dipakai,” katanya.
Katanya, untuk menangani kes-kes pembuangan bayi yang semakin meningkat, ia memerlukan pendekatan secara menyeluruh termasuk pendidikan agama serta pengukuhan institusi keluarga.
“Dari Januari 2005 hingga Ogos 2010, sebanyak 472 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 55 peratus bayi meninggal dunia.
“Tugas kita adalah menjaga bayi itu dengan selamat untuk tempoh beberapa hari,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidah mengucapkan penghargaan kepada Hospital Pakar KPJ Ipoh kerana mengambil inisiatif menubuhkan pusat perlindungan bayi itu.
“Kita tidak mahu rakyat beranggapan kerajaan negeri menggalakkan pembuangan bayi. Apa yang kita buat adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi daripada dibuang.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan program-program kesedaran agama di sekolah menengah dan kilang pada tahun depan bagi menangani kes pembuangan bayi,” katanya.sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan