Kira-kira 2.5 juta jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia termasuk 26,000 dari Malaysia wukuf di Arafah hari ini [15 Nov. 2010] - kemuncak dalam ibadah haji, dalam suasana cukup harmoni dan syahdu.
Cuaca kering, tetapi dikira tidak terlalu panas dengan suhu mencecah 34 hingga 35 darjah celsius melegakan umat Islam yang berada di tanah suci Makkah untuk sedia berhimpun di padang Arafah.
Jemaah mula berangkat ke Arafah dengan bas kira-kira 21.9 km dari Makkah sejak jam 11 pagi semalam waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di bawah kawalan ketat.
Ada laporan agensi berita menyebut angka jemaah pada musim 1431 Hijrah ini mencecah 3 juta orang.
Jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (Zohor) dan berangkat ke Mudzalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Jemaah haji Malaysia yang diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak Muasassah berada dalam keadaan baik dan memuaskan. Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka jelas terjaga.
Malam semalam mereka banyak menghabiskan masa dengan membaca al-quran, berzikir, solat sunat, solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.
Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi buat pertama kali memperkenalkan Global Broadcast System (GBS) mengandungi pelbagai maklumat dan risikan mengenai isu-isu keselamatan dan cuaca pada musim haji ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan