22 September 2010

Pusat Media & Facebook PDRM


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam melancarkan laman sosial Facebook dan merasmikan Pusat Media sebagai medium baru mendekati masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kepantasan aliran maklumat menuntut pihak polis mengambil inisiatif itu selaras dengan ledakan teknologi.

Katanya, polis perlu merangka proses komunikasi lebih pantas, strategik dan berkesan demi kebaikan orang awam.

“PDRM perlu mengenal pasti kaedah komunikasi terbaik bagi mengelak sesuatu perkara disensasikan secara tidak terkawal dan akhirnya mewujudkan kesan negatif.
“Peredaran masa dan perkembangan bidang teknologi komunikasi, kes-kes tertentu sering terdedah dengan manipulasi. Jadi, mereka (polis) perlu mampu menjangka bentuk-bentuk ancaman baru yang mungkin berselindung di sebalik soal kaum atau agama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Media dan Pelancaran Facebook PDRM.
Menurutnya, penubuhan Pusat Media boleh membantu membentuk imej polis dan membolehkan rakyat mendapat maklumat dengan lebih cepat, tepat dan menyeluruh, sekali gus menangani kewujudan khabar angin sehingga menjejaskan siasatan mereka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: