13 April 2009

Perlu dana bina perpustakaan



KUALA KRAI - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memohon kerajaan menyalurkan dana mencukupi bagi pembinaan lebih banyak perpustakaan desa di kawasan pedalaman seluruh negara.

Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar berkata, pada masa ini terdapat 1,089 perpustakaan desa di bawah PNM seluruh negara namun jumlah itu masih tidak memadai untuk menjayakan misi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Katanya, PNM memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi menampung kos pembinaan sesebuah perpustakaan desa termasuk kemudahan utiliti.

“Kempen membaca PNM menunjukkan petanda positif apabila jumlah ahli dan pinjaman buku di beberapa perpustakaan desa seluruh negara meningkat sejak beberapa bulan lepas. Ditambah pula dengan ikon yang sangat popular, pelajar terlibat mendapat motivasi untuk membaca tetapi malang sekali bahan bacaan tidak mencukupi,” katanya.

Raslin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kempen Membaca PNM dan Sehari Bersama Angkasawan Negara anjuran bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kampung Bahagia, dekat sini, semalam.

Perasmian kempen yang bermula awal tahun ini dan mendapat sambutan mengalakkan penduduk, guru dan pelajar sekolah turut dihadiri Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang juga merupakan ikon PNM bagi kempen tersebut. Sempena penampilan istimewa itu, pelajar berpeluang mendengar motivasi disampaikan Sheikh Muszaphar yang turut berkongsi pengalaman sebelum dan selepas bergelar angkawasan.

Hadir sama, Pengarah IPGM Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman dan Guru Besar SK Bahagia, Lau Chin Chua.

Sementara itu, pada ucapan sama, Rasin berkata, ramai siswazah di negara ini kurang berpengetahuan disebabkan sikap mereka yang hanya membaca ketika hendak menghadapi peperiksaan di universiti.

Menurutnya, keadaan itu bertambah buruk apabila kebanyakan siswazah terbabit terus berhenti membaca selepas menamatkan pengajian serta tidak mengambil tahu peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.
Sinar Harian

Tiada ulasan: