PUTRAJAYA - Tidak sampai 15 minit selepas mengemaskini akaun perbankan dalam talian, seorang pegawai pemasaran mendakwa kehilangan kesemua wang gaji sebulan berjumlah RM2,200 daripada akaun simpanannya.
Musibah yang menimpa Emma Asmani Ab. Halim, 36, bermula selepas dia menerima beberapa e-mel yang didakwa dari bank berkenaan dengan tujuan meminta mengemaskini akaun selain peringatan ia akan ditutup jika urusan tersebut tidak dibuat.
Bimbang akaun akan ditutup, dia membuka e-mel itu dan klik pada pautan laman web bank yang diberikan pada pukul 11 pagi 1 April lalu.
"Saya hanya sedar duit dah hilang selepas membuat semakan dalam talian melalui laman web bank berkenaan pada 3 April lalu dan mendapati baki akaun RM99.90 sedangkan ia sepatutnya RM2,299.90,'' katanya ketika ditemui kelmarin.
Emma Asmani semakin keliru dan panik apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai bank berkenaan bahawa dia telah membuat transaksi pindahan wang.
"Selepas dua minit kemudian, saya menerima khidmat pesanan ringkas nombor tac (nombor empat digit pengesahan transaksi) daripada bank berkenaan,'' dakwanya.
Pada 3 April lalu, beliau membuat semakan di bank berkenaan di sini dan sekadar diberi layanan 'ala-kadar' oleh salah seorang pegawai.
"Apabila saya menceritakan masalah itu, dia sekadar berkata, duit saya mungkin dah pergi ke Indonesia.
"Dia juga kata transaksi itu sukar dikesan dan wang saya tidak dapat dipulangkan,'' katanya.
Katanya, semakan dengan bank mendapati ada transaksi pindahan wang tepat 11.16 pagi pada hari sama dia mengemaskini akaun simpanannya.
"Pihak bank beritahu duit telah dipindahkan tetapi tidak memaklumkan ke mana tetapi bagaimana bank itu boleh hantar nombor tac terus pada telefon bimbit saya selepas lebih kurang dua minit jika e-mel itu palsu?'' soalnya.
sumber Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan