09 Februari 2009

Batuk

Sekarang ini keadaan cuaca agak panas dan kering. Keadaan kering dan berdebu boleh mendatangkan pelbagai penyakit terutamanya batuk dan selsema.
Batuk sebenarnya merupakan petanda baik bahawa badan kita berfungsi dengan normal. Ia adalah cara badan bertindak balas ?mempertahan dan melegakan dirinya daripada bahan-bahan perengsa yang tersekat di dalam saluran pernafasan.
Batuk adalah satu gejala atau simptom yang disebabkan oleh permasalahan berkaitan saluran pernafasan, paru-paru atau jantung.
Batuk yang berserta dengan demam biasanya disebabkan oleh jangkitan pada sistem pernafasan. Jangkitan biasanya disebabkan oleh virus atau bakteria, ujar Kol (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali.

Ada dua jenis batuk iaitu batuk yang kering atau juga dikenali sebagai batuk tidak produktif dan batuk yang berkahak (produktif).
Batuk kering biasanya disebabkan oleh iritasi atau radangan saluran pernafasan seperti radang tonsil, radang kerongkong (faringitis), radang trakea atau bronkus (bronkitis).
Manakala batuk yang berkahak biasanya dikaitkan dengan radang paru-paru (pneumonia), radang bronkus (bronkitis) dan paru-paru berair (edema pulomonari).
Menurut Dr. Abd. Rahman, pembentukan kahak adalah proses normal sel-sel kahak di saluran pernafasan untuk melembapkan dinding saluran pernafasan.Ia juga bertujuan memerangkap debu dan partikel kuman yang memasuki saluran pernafasan sebelum disingkirkan keluar melalui suatu bentuk hembusan keras iaitu batuk.
agaimanapun, tindak balas ini menjadi berlebihan dan mengeluarkan kahak yang banyak bila berlaku iritasi atau jangkitan pada saluran pernafasan, jelas beliau.
Tambahnya, kahak yang banyak ini merangsangkan batuk.
Warna kahak, kata Dr. Abd. Rahman, biasanya putih. Bila radangan saluran pernafasan disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria, ia akan bertukar menjadi kekuning-kuningan, hijau atau karat.
Ada kalanya kahak itu berdarah (hemoptysis). Ini biasanya berpunca daripada kecederaan dinding saluran pernafasan, radang paru-paru atau ketumbuhan.
ubat batuk tidak merawat punca batuk, ia hanya melegakan batuk. Apabila seseorang mengalami batuk dan demam, adalah disarankan agar mereka berjumpa dengan doktor, yang akan menentukan punca batuk dan rawatan sewajarnya.

Terdapat dua jenis ubat batuk iaitu untuk menghentikan batuk (supresan batuk) dan untuk merangsang dan mencairkan kahak atau mukus (perangsang batuk).

Lazimnya, doktor akan memberikan supresan batuk jika batuk itu kering dan menyebabkan rasa sakit di dada semasa batuk.

Ubat ini dapat mengurangkan desakan untuk batuk dengan menyekat pusat kawalan batuk di dalam otak.

Sementara itu, jika batuk berkahak dan kahak susah dikeluarkan, doktor akan memberikan perangsang batuk atau mucolator.

Dengan ini, ia akan membantu membersihkan saluran udara dari sebarang perengsa bagi memudahkan kahak dibatuk keluar.

Sesetengah ubat batuk mengandungi kedua-dua supresan dan perangsang. Supresan mengurangkan kekerapan batuk manakala perangsang menolong mencairkan mukus.

Apabila digabungkan kedua-dua ramuan ini, ia akan membuat batuk anda lebih produktif dengan mengeluarkan lebih banyak kahak dan mukus, menjadikan anda terasa lebih selesa.

Tiada ulasan: