04 Ogos 2013

Selamat Hari Raya

Photobucket

Adab-Adab Menyambut Hari Raya

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد.
‘Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah swt anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadhan.
Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan in, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah saw menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik rh meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya  Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt:
{وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن}
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].
Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada Abdul Rahman al-Salamiy katanya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha. Waki’ berkata: “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 3/122].
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibnu Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibnu Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya: “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 2/121].
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf. Sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibnu Abi Syaibah, Abdul Razak dan al-Faryabi dalam kitabnya “Ahkam al-‘Eidain” menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata: “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari  pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas’ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz:
اللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، -اللهُ أكْبَرُ-، لا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibnu Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas’ud: 
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْرا،ً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً، اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” [Irwa’ al-Ghalil: 3/126]
Kata ulama’: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.
[Lihat Sighah Takbir yang warid daripada beberapa orang sahabat Nabi saw di: http://www.saaid.net/mktarat/eid/80.htm]

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].

6. Berpakaian baru/cantik di Hari raya
Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibnu Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (disebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw:
لا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاتٌ
Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].
Keluar dengan berpakaian biasa diluar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi.
Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.
7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]
 Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i.        Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii.       Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii.      Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt.
iv.      Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v.       Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama’semasa.
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a-         Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit dari para sahabat Nabi saw.
b- Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-Ala (سبح اسم ربك الأعلى) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasiah (هل أتاك حديث الغاشية) berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi saw.
c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis di dalam Musnad Ahmad daripada Ibnu Abbas r’anhuma:
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya: “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
d-  Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya.
Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari. Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan perkataan Ibnu Battal (ابن بطال): “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada Ali bin Abi Tolib r.a. katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya]. Kata al-Tirmizi: “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk  solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya: “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]
Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10.  Wanita uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya.
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm Atiyyah r.’anha katanya: “Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11.    Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadis Ibnu Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadis Nabi saw daripada Ibnu Abbas r.’anhuma:
من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
Maksudnya: “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”
Maka berdasarkan hadis ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.

BEBERAPA KESALAHAN YANG DILAKUKAN PADA HARI RAYA.
1. Anggapan sunat menghidupkan malam hari raya
Sebahagian orang ada yang beranggapan sunat menghidupkan malam hari raya dengan melakukan ibadat-ibadat sunat khusus seperti qiyam al-Lail dan seumpamanya. Adapun hadis yang menyebut tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya secara khusus ini adalah dhaif ataupun lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi saw. Hadis tersebut ialah:
من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia lainnya).”
Hadis ini TIDAK SAHIH. [Ibnu Majah (1782) Kata Al-Busiri dalam al-Misbah (644): “Isnadnya Dhaif”].
Maka tidak disyariatkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan qiyam al-lail, melainkan bagi mereka yang sememangnya telah menjadi kebiasaannya menghidupkan malam-malam yang lain juga. Hanya disunatkan untuk bertakbir secara bersendirian disemua tempat.

2.    Menziarahi Kubur pada dua hari raya
Perbuatan sebahagian muslim yang menjadikan awal pagi dua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang tidak tepat dengan maksud dan syiar hari raya; yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Sedangkan perbuatan menziarahi kubur sebagaimana yang diajar oleh Nabi saw adalah untuk mengingati mati dan memberi keinsafan. Menjadikan ziarah tanah perkuburan sebagai agenda khas pada setiap hari raya, adalah salah dari segi konsepnya. Seperti hanya mengingati ibu bapa atau keluarga yang telah mati pada waktu-waktu tertentu dan ada pada musim-musim yang tertentu sahaja, sedangkan sepanjang tahun itu sebelumnya, doa pun lupa untuk dihadiahkan kepada mereka!

3>Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya.
Ramai dikalangan kita telah mengambil mudah dengan hari raya. Bila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah  'hari free' iaitu  hari yang  terlepas dari ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan. Wallahu a’lam.
Semoga Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ, وكل عام و أنتم بخير.
Akhukum: Abu Anas Madani,
Pondok Sungai Durian. 28 Ramadhan 1432H.
www.abuanasmadani.com

dipetik dari sini
Video Syarah Adab-adab ini di: http://www.youtube.com/watch?v=-pjRKnSWxF0
kredit ustaz abunasmadani