15 Januari 2011

100 bantah peguam pertikai azan Subuh...!

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Lebih 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah di Jalan Pantai Permai di sini, hari ini, sebagai membantah

tindakan seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum berkaitan azan kepada Perdana Menteri, pada Disember lepas.
Memorandum itu antara lain meminta pihak pengurusan masjid berkenaan memperlahankan laungan azan yang didakwa mengganggu tidurnya setiap Subuh sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam.
Mereka yang mewakili persatuan penduduk sekitar Kampung Kerinchi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mula berhimpun secara aman di pekarangan masjid selepas solat Jumaat pada pukul 2 petang.
Kumpulan itu membawa kain rentang dan sepanduk yang tertera tulisan 'Laungan Azan, Laungan Keramat', 'Jangan Main Api' dan 'Islam Agama Kami' serta melaungkan takbir.
NGO yang terlibat antaranya Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda; Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Perhimpunan yang berakhir pada pukul 2.30 petang itu sedikit kecoh apabila ada pihak membakar tiga replika jenazah di luar masjid, namun berjaya dihentikan pihak polis.
Bagaimanapun tiada insiden yang tidak diingini berlaku pada perhimpunan itu.
Pengerusi Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang pada sidang akhbar selepas itu berkata, perasaan penduduk sekitar Lembah Pantai dan NGO Islam amat terhiris dengan tindakan pengadu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu.
Katanya, azan merupakan sebahagian daripada aspek ibadah umat Islam sejak berkurun lamanya dan ia tidak pernah dipersoalkan termasuk oleh penjajah.
Beliau hairan dengan sikap peguam itu yang sepatutnya mahir mengenai Perlembagaan Persekutuan dan mengetahui bahawa Islam adalah agama rasmi negara.
''Ia secara jelas memberi kebebasan kepada rakyat mengamalkan agama yang dianuti mereka. Justeru kami menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap peguam itu sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain sekiranya mahu membangkitkan perkara sama pada masa akan datang," katanya.
Difahamkan, berikutan penghantaran memorandum oleh peguam itu, kariah Masjid Al-Ikhlasiah terpaksa memperlahankan laungan azan sejak dua minggu lalu.
[Malaysiakini, Khamis lalu berjaya mendapat penjelasan daripada ketua imam masjid tersebut - Mahadi Abdullah yang berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan atas arahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.]
Menurut Zakaria, persatuan penduduk dan NGO Islam mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap peguam itu mengikut Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selain itu, penduduk menasihatkan peguam itu supaya berpindah dari tempat tinggalnya sekarang atau menukar kerakyatan kepada negara yang digemarinya.
''Selain itu, kita meminta beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya penduduk di Lembah Pantai," katanya.
UtusanMalaysiakini

12 Januari 2011

'Adu jika caj hospital swasta tak munasabah'


Jawatankuasa khas semak bayaran hospital swasta dikenakan

KUALA LUMPUR: 12 Jan 2011:


Pesakit dikenakan caj perubatan yang tinggi dan tidak munasabah ketika menerima rawatan di hospital swasta boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Abitri Perubatan Kebangsaan bagi tujuan semakan semula caj berkenaan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jawatankuasa khas yang diwujudkan di setiap hospital swasta dan dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican di peringkat pusat, berperanan memantau dan menilai semula kadar caj sama ada berpatutan dengan kos yuran doktor dan kemudahan perubatan hospital berkenaan. Keputusan itu, antara yang dicapai menerusi persetujuan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pakar dan akademi perubatan baru-baru ini bagi mengelak hospital swasta mengenakan caj berlebihan kepada pesakit sewenang-wenangnya.

“Kita akan ada jawatankuasa yang akan tentukan caj untuk doktor pakar dan semua kos terhadap keperluan pesakit termasuk tisu, makanan dan minuman dan ubat-ubatan. Semua caj berkaitan sudah kita rangka sebagai garis panduan dan mencapai kata sepakat untuk pastikan tidak ada caj berlebihan,

“Jika pesakit dikenakan bayaran yang tinggi, mereka boleh merujuknya kepada jawatankuasa itu yang dikendalikan kementerian kerana kita tidak mahu rakyat mengadu caj hospital swasta meningkat berlipat kali ganda,” katanya selepas merasmikan Kompleks Pusat Perkhidmatan Steril Bertauliah dan meraikan satu juta meter isi padu pemprosesan produk kesihatan di SterilGamma (M) Sdn Bhd, dekat sini semalam.

Liow berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan caj kesihatan hospital swasta akan menurun apabila kerajaan melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care yang membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Bagi mengekang kadar caj kesihatan yang tinggi dan berbeza-beza di hospital swasta, Liow berkata pihaknya menetapkan satu garis panduan dan jadual baru bayaran perkhidmatan bagi hospital swasta dan doktor, bermula Mac ini.

Menerusi pelaksanaan itu, dijangka kira-kira 30,000 doktor hospital kerajaan dan swasta akan menikmati kadar yuran baru yang tidak pernah disemak sejak 2004. Selain itu, garis panduan itu dijangka mengurangkan beban bayaran perubatan pesakit membabitkan kos lawatan dan perubatan doktor pakar serta kadar lain yang dikenakan kepada pesakit hospital swasta.
“Kita sedang mengkaji yuran baru untuk semua doktor kerana ada banyak rayuan menyatakan ia rendah berbanding negara lain sedangkan yuran untuk hospital tinggi menyebabkan jumlah keseluruhan yuran berlipat kali ganda. Oleh itu, akan ada yuran baru untuk doktor mulai Mac ini bagi mempraktikkan perkhidmatan kesihatan yang baik selain setiap hospital mengawal caj hospital masing-masing,” katanya.

Ditanya kadar yuran baru doktor itu akan meningkatkan caj hospital, Liow berkata perkara itu tidak menimbulkan masalah.

“Yuran doktor tidak ada masalah, orang tidak mengadu. Yang bermasalah adalah bil hospital, kita akan pastikan bil ini dikawal dengan baik dan memang jawatankuasa ini diwujudkan untuk pantau yuran hospital dan yuran doktor,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan menyediakan kos perubatan percuma kepada rakyat, Liow berkata tidak ada negara mampu memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua rakyatnya kecuali kepada yang miskin.

“Kalau ada pun, kita risau kalau ada yang salah guna perkhidmatan kesihatan untuk rakyat miskin. Kerajaan akan bantu, tapi bagi orang berada, saya fikir tidak ada yang setuju beri perkhidmatan percuma kepada yang kaya,” katanya
*sumber Berita Harian

02 Januari 2011

Bertudung tapi.....!!!


Bagi setengah wanita, memakai tudung bukan kerana tuntutan agama. Mungkin ada yang cuma ingin mengambil hati, mungkin ia kerana suatu peraturan dan mungkin ada yang ikut-ikutan. Waktu ke pejabat semua memakai tudung, ke sekolah pun begitu juga, tetapi bila berjalan-jalan membeli belah tudung entah kemana.

Pada hal Islam telah menggariskan pakaian yang wajib dipakai oleh setiap muslimah. sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam, iaitu:

i). Hendaklah menutup seluruh anggota badan, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga dua pergelangan tangan.

ii). Pakaian itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

iii). Pakaian itu luas, tidak sempit, dan tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badan.

iv). Pakaian itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki

v). Pakaian itu tidak berbau harum atau wangi kerana ia boleh menarik perhatian orang.

Kewajipan menutup aurat itu berdasarkan kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Di antaranya firman Allah: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Ahzab : 59)
 

Oleh yang demikian, sebagai menyahut titah perintah Allah, isu bertudung khususnya menutup aurat janganlah ia dipandang sebagai perkara remeh. Ia adalah perkara wajib. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun ia dipandang remah oleh sebahagian manusia. 
dipetik dari selantanonline.net