29 Disember 2010

Tanda Harga Kos Rawatan.

Elak pesakit hospital swasta bayar caj terlalu tinggi, buat pilihan

KUALA LUMPUR: Hospital swasta kini perlu memaklumkan secara terperinci dan telus mengenai caj profesional serta caj anggaran dan di luar jangkaan sebelum pesakit diberi rawatan atau dimasukkan ke wad. Ini bertujuan membolehkan pesakit membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan asalkan mereka ada maklumat mencukupi mengenai caj yang akan dikenakan. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata langkah itu adalah antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat yang diadakan Kementerian Kesihatan, Jumaat lalu, untuk membincangkan langkah bagi mengekang kenaikan kos jagaan kesihatan yang melampau di hospital swasta tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan disediakan.

Mesyuarat itu dihadiri Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ketua pegawai eksekutif dan orang bertanggungjawab bagi hospital swasta, wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO), syarikat insurans, kumpulan profesional serta profesional perseorangan.

Mesyuarat itu diadakan sebulan selepas Berita Harian mendedahkan ramai individu gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit yang digunakan untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta.

Pada mesyuarat itu, kementerian menegaskan pihaknya akan memperkukuhkan fungsi untuk mengawal selia dan akan melakukan perkara berikut:

Mengkaji serta mencari penyelesaian terhadap perbezaan caj antara pesakit membayar sendiri dan mereka yang memiliki polisi insurans kerana perkara itu turut menyumbang kepada kos keseluruhan jagaan kesihatan.

Mengulangi dan menekankan bahawa diskaun hanya dibenarkan untuk caj hospital dan tidak termasuk caj profesional.

Memantau hospital swasta dan pengamal perubatan swasta bagi memastikan tiada penyalahgunaan terhadap faedah perubatan yang disediakan melalui insurans dengan menjalankan pelbagai prosedur dan pemeriksaan tidak diperlukan ke atas pesakit, dan Secara berterusan akan mengarahkan pengamal perubatan swasta, hospital swasta, MCO, syarikat insurans dan pihak lain yang terbabit untuk memastikan kos jagaan kesihatan serta rawatan dikenakan adalah berpatutan dan munasabah.

Dr Mohd Ismail dalam kenyataannya semalam, berkata mesyuarat itu juga bersetuju semua MCO tidak dibenarkan campur tangan dalam keputusan klinikal dan perawatan pesakit yang dikendalikan oleh mana-mana pengamal perubatan, termasuk di klinik perubatan swasta.

Selain itu, semua perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan pengamal perubatan swasta serta kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, perlu menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa melanggar peruntukan di bawah kod tingkah laku profesional dan etika perubatan.

Beliau berkata, mesyuarat itu mengenal pasti faktor penyumbang kepada kos jagaan kesihatan termasuklah fi profesional, caj hospital dan isu berkaitan MCO serta syarikat insurans.

Ada juga hospital swasta didapati menerima tekanan daripada pemegang saham mereka untuk mengenakan caj hospital tertentu yang tinggi terhadap pesakit bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

Sehubungan itu, katanya, usaha berterusan sedang dilakukan untuk meminda Jadual Ke-13 mengenai Fi Profesional Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 bagi menangani isu kekaburan caj doktor.

“Pengurusan hospital dan MCO juga sudah diberitahu supaya jangan menyenaraihitamkan pengamal perubatan yang tidak bersetuju memberi diskaun bagi fi profesional mereka atau atas apa juga alasan, tanpa memberikan mereka amaran atau notis bertulis.

“Jika ada doktor yang didapati bertugas secara tidak beretika atau tidak bermoral, pengurusan harus melaporkannya kepada MMC,” katanya
Sumber Berita Harian

28 Disember 2010

Pusat Perlindungan bayi.

IPOH 27 Dis. – Hospital Pakar KPJ Ipoh hari ini melancarkan pusat perlindungan bayi dalam hospital yang pertama di negara ini bagi mengelak kejadian membuang bayi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.


Pembukaan pusat perlindungan tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh, Ahmad Nasiruddin Harun, objektif utama pembukaan pusat tersebut adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi baru lahir yang tidak bersalah daripada dibuang.

“Setiap bayi tersebut berhak untuk hidup dan menjadi tugas kita untuk menyokong kenyataan itu.

“Sehubungan itu kami menyediakan tempat yang selamat untuk bayi-bayi daripada dibuang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pusat perlindungan bayi itu di sini hari ini.

Ahmad Nasiruddin berkata, pusat perlindungan bayi itu cuma bertindak sebagai rumah sementara kepada bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Jika bayi tersebut memerlukan perhatian perubatan, kita akan jaga mereka selama beberapa hari dan sekiranya rawatan lanjut, bayi itu akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” ujarnya.

Beliau memberitahu, orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk menghantar bayi yang diingini ke situ kerana identiti mereka tidak akan direkodkan.

“Kita cuma merekodkan masa bayi itu dihantar dan warna baju yang dipakai,” katanya.




Bagaimana jika [sebagai contoh] A meletakkan seorang bayi lelakinya di pusat ini dan setahun kemudian beliau meletakkan pula bayi perempuannya. Katakan 20 tahun kemudian bayi tadi bertemu dan ingin berkahwin, bukankah akan berlaku perkahwinan adik beradik. Jika hal ini berleluasa apa akan terjadi pada masyarakat Malaysia di masa akan datang.???
Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Ipoh, Datuk Dr. Fadzli Cheah Abdullah berkata, pembukaan pusat perlindungan bayi itu bukan jalan penyelesaian kepada kes-kes pembuangan bayi.

Katanya, untuk menangani kes-kes pembuangan bayi yang semakin meningkat, ia memerlukan pendekatan secara menyeluruh termasuk pendidikan agama serta pengukuhan institusi keluarga.

“Dari Januari 2005 hingga Ogos 2010, sebanyak 472 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 55 peratus bayi meninggal dunia.

“Tugas kita adalah menjaga bayi itu dengan selamat untuk tempoh beberapa hari,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidah mengucapkan penghargaan kepada Hospital Pakar KPJ Ipoh kerana mengambil inisiatif menubuhkan pusat perlindungan bayi itu.

“Kita tidak mahu rakyat beranggapan kerajaan negeri menggalakkan pembuangan bayi. Apa yang kita buat adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi daripada dibuang.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan program-program kesedaran agama di sekolah menengah dan kilang pada tahun depan bagi menangani kes pembuangan bayi,” katanya.sumber

Haram pakai menyerupai Santa Claus

JOHOR BAHRU:
Umat Islam dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut menyambut perayaan Krismas hingga sanggup memakai pakaian atau perhiasan menyerupai Santa Claus kerana ia bertentangan dengan ajaran agama.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin berkata, umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas disambut masyarakat yang menganut Kristian.

“Kerana ingin bersama-sama meraikan perayaan itu menjelang 25 Disember, ada orang Islam yang memakai pakaian seperti Santa Claus bagi saya, hukumnya adalah haram.

“Tanpa disedari, perbuatan itu secara tidak langsung boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang umat Islam,” katanya, semalam.

Beliau sendiri ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara itu dan meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus semata-mata kerana diarahkan majikan berbuat demikian.

Tahrir berkata, pihak atasan sesebuah organisasi seharusnya sedar dan maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

“Memang tidak dinafikan sesetengah individu yang bekerja di pusat membeli- belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan itu atas kehendak tugas.

“Majikan sebenarnya boleh mengarahkan pekerja bukan Islam berpakaian sedemikian sebaliknya memilih individu beragama Kristian untuk memakai pakaian itu,” katanya.

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, hiasan dipasang pemilik kompleks beli-belah, pusat hiburan dan tempat awam sempena Krismas kini keterlaluan dan bersifat provokatif.

Pengerusi MUI, Muhyidin Junaedi, berkata walaupun Islam tidak menghalang sesuatu perayaan agama lain diraikan penganutnya, sambutan itu perlu diadakan secara terkawal dan mengambil kira sensitiviti orang lain.

“Hiasan sempena Krismas mesti dibuat mengikut kesesuaian kerana majoriti penduduk Indonesia beragama Islam.

“Jika tidak, hiasan perayaan itu akan menyinggung pihak lain,” katanya kepada media, semalam.

Bagi menjaga sensitiviti semua pihak, kata Muhyidin, MUI mengeluarkan saranan kepada pemilik kompleks beli-belah dan pusat rekreasi supaya lebih berhati-hati menghias premis masing-masing.

Katanya, MUI menerima aduan daripada ramai kakitangan pusat beli-belah di negara itu yang kurang senang kerana dipaksa mengenakan pakaian Santa Claus. “Kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.
“MUI perlu menjaga umat Islam daripada terbabit secara langsung menyertai sebarang perayaan agama lain,” katanya.
sumber

21 Disember 2010

Akta e-Dagang dipinda


BERA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam proses meminda Akta e-Dagang bagi melindungi pengguna melakukan transaksi melalui internet seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menipu pengguna. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya giat memperhalusi segala butiran membabitkan pindaan akta, termasuk memasukkan hukuman atau penalti yang sebelum ini tidak ada dalam peruntukan akta berkenaan. “Jika sesuatu produk ditawarkan tidak menepati seperti yang diiklankan, kita sebenarnya masih boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

“Bagaimanapun, jika ia membabitkan produk kesihatan, penguatkuasaan mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kempen Tanam Sendiri-Jimat Belanja 2010 anjuran bersama FOMCA, yang disertai lebih 200 penduduk di sekitar daerah ini, di Kompleks Rakan Muda Bera.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai produk pelangsing badan, kosmetik dan ubat-ubatan tradisional yang disahkan mengandungi bahan kimia, termasuk steroid dijual secara berleluasa di alam siber.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna membabitkan kes penipuan barang yang tidak sampai dan produk tidak menepati seperti yang diiklankan dalam laman web.
Ismail Sabri juga berkata, pihak kementerian akan mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada pengguna mengenai produk yang dijual melalui internet bagi melindungi kepentingan mereka.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan mengadakan kempen kesedaran kepada pengguna tetapi penguatkuasaan dilakukan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Ditanya sama ada kementeriannya bercadang mengenakan lesen kepada orang ramai yang menjalankan perniagaan melalui internet, beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam penyediaan Akta e-Dagang.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Ismail, menyambut baik usaha dilakukan FOMCA kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan pengguna ke atas barang keperluan harian.

“Ia sekali gus membantu mengurangkan kenaikan harga barang seperti cili, sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika kita dapat menanam sendiri, kita bukan saja dapat hasil yang segar tetapi dapat juga berjimat dalam perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, kempen itu juga dapat memberi kesedaran kepada pengguna bahawa mereka tidak boleh menyalahkan orang lain, terutama kerajaan apabila harga barang naik, sebaliknya mengubah sikap selesa dengan mempelajari ilmu dan kemahiran baru untuk kehidupan yang lebih baik.
sumber

Islam prasyarat utama TPM bukan Melayu

Jawatan TPM tidak disentuh di dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun jawatan ini tiada dalam Perlembagaan, ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan.

Oleh itu, pelantikan TPM tidak melanggar Perlembagaan itu sendiri. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah “Supreme head of the Federation. Baginda adalah Ketua Negara tetapi bukan Ketua Kerajaan. Kuasa eksekutif terletak dalam tangan PM.

YDPA bertindak atas nasihat Kabinet diketuai PM. Kewujudan jawatan TPM secara konvensyennya dibuat kerajaan. Jawatan TPM penting kerana TPM adalah orang nombor dua dalam kerajaan. Malah, jika PM di luar negara atau sakit, TPM memangku jawatan PM.
Kuasa melantik PM atas budi bicara YDPA sendiri. Tidak ada sesiapa boleh memaksa baginda melantik Menteri Besar (MB). Ia bukan kuasa yang dimiliki mana-mana pihak atau kerajaan.

Jika kita melihat dalam Perlembagaan, memang benar tidak disebut dengan jelas bahawa PM dan timbalannya mesti terdiri daripada kalangan orang Melayu. Oleh kerana tiada syarat spesifik seorang PM dan TPM adalah Melayu, saya berpandangan orang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau TPM.

Namun timbul pula persoalan adakah seseorang bukan Islam boleh dilantik menjadi PM atau TPM? Bagi mencari jawapan terhadap persoalan ini kita perlu meneliti sumpah yang diambil oleh YDPA semasa menaiki takhta baginda. YDPA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bersumpah dalam jadual keempat Perlembagaan Persekutuan akan memelihara Islam pada setiap masa.

Oleh itu, adalah langsung tidak masuk akal sekiranya orang bukan Islam dilantik menjadi PM atau TPM. Bagaimana seorang bukan Islam dapat melaksanakan sumpah YDPA memelihara Islam pada setiap masa?

Malah pada pandangan saya orang Melayu yang tidak mengamalkan Islam juga adalah tidak layak dilantik menjadi PM atau TPM. Seorang yang tidak mempercayai atau memahami Islam sudah pasti akan gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Sumpah YDPA ini adalah kewajipan berperlembagaan bagi pihak kerajaan melaksanakan Islam pada setiap masa sebagaimana sumpah YDPA itu. Dalam perspektif yang berlainan pula jika orang bukan Melayu pula yang komited dan beragama Islam, beliau layak dilantik menjadi PM atau timbalannya kerana ia tidak langsung akan menjejaskan kewajipan Berperlembagaan YDPA itu.

Melantik bukan Islam sebagai TPM perlu diberi pertimbangan dari pelbagai aspek terutama apabila TPM menjadi pemangku PM. Sudah pasti pemangku PM bukan Islam ini mendapati beliau sukar menjalankan tugasnya dengan baik.

Begitu juga semasa persidangan Majlis Raja-Raja, orang bukan Islam akan menghadapi kesukaran dalam menjalankan tugasnya. Malah dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat banyak perkara berkaitan dengan Islam dan kedudukan istimewanya. Sudah pasti Ketua Kerajaan bukan Islam tidak dapat melaksanakan hak keistimewaan orang Melayu/Islam ini mengikut acuan perundangan.

Jawatan TPM walaupun tiada disebut dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah jawatan yang tidak penting. Pemegang jawatan ini adalah orang nombor dua dalam pentadbiran kerajaan. Oleh itu, jika sesuatu terjadi kepada Ketua Kerajaan sudah pasti TPM akan mewarisi jawatan terbabit. Oleh yang demikian, jawatan ini amat penting di dalam dan di luar negara.

Disebabkan itu, saya berpandangan seorang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau timbalannya dengan syarat orang bukan Melayu itu adalah seorang mukmin yang tegas melaksanakan ubudiahnya kepada Allah SWT.

Namun saya tidak bersetuju sekiranya jawatan itu dilantik dikalangan orang bukan Islam kerana ia akan menyanggah sumpah yang dilafazkan YDPA. Orang Islam yang gagal menjayakan sumpah YDPA tidak layak menjadi PM walaupun beliau seorang yang berilmu dan berpengaruh.

Ruangan ini bukan bertujuan mencari salah sesiapa. Tetapi sekadar berkongsi ilmu dalam aspek perundangan sebenar, tidak dimainkan oleh emosi ataupun ketaksuban kepada seseorang pemimpin.

Saya juga tidak berhasrat menyentuh kuasa Raja-Raja Melayu. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa menjadi kelaziman PM dan TPM Malaysia adalah orang Melayu, namun tradisi ini boleh diubah dengan melantik orang bukan Melayu yang beragama Islam sebagai PM dan TPM.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui zainul.rijal@abubakar.my
sumber

13 Disember 2010

Jawatankuasa khas PPIM kendali aduan mangsa MLM

KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan Jawatankuasa Saringan Aktiviti Perniagaan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan atau berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan melalui aktiviti perniagaan termasuk jualan langsung (MLM) yang diragui operasinya.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata jawatankuasa itu yang beroperasi mulai minggu depan akan mengumpul dan membuat rumusan terhadap setiap maklumat yang diterima melalui satu ruangan khas yang dimuatkan di laman web PPIM. “PPIM berharap sesiapa yang mempunyai pengalaman ditipu dalam aktiviti perniagaan berkongsi maklumat supaya masyarakat dapat menjadikannya sebagai rujukan untuk mengenalpasti sama ada sesuatu perniagaan itu benar-benar sah ataupun tidak. “Sekurang-kurangnya maklumat yang dikongsi membolehkan orang ramai berinteraksi sekali gus mengelakkan daripada terus tertipu melalui pelbagai tawaran dibuat khususnya syarikat MLM,” katanya pada sidang media mengenai isu penipuan syarikat jualan langsung di sini.

Katanya, tahun ini saja PPIM menerima kira-kira 70 aduan daripada pengguna yang mendakwa ditipu syarikat MLM, termasuk golongan profesional dan kakitangan awam.

Sementara itu, seorang mangsa, Fariza Shamsudin, 33, berkata beliau kini terpaksa menanggung hutang bank sebanyak RM60,000 selepas terpedaya dengan janji manis ejen MLM untuk menyertai satu skim yang menjanjikan pulangan sehingga RM120,000 dalam tempoh setahun.

“Semua urusan pinjaman (bank) diuruskan ejen dan saya hanya menandatangani surat perjanjian bank. Pada mulanya, saya memang mendapat pulangan RM20,000 secara berperingkat seperti dijanjikan tapi lama-kelamaan terus senyap,” kata jururawat yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di sini.
Dalam perkembangan berasingan, Nadzim berkata pihaknya akan bertemu dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membincangkan langkah yang boleh diambil bagi membantu pelajar universiti persendirian di Mesir meneruskan pengajian mereka.

Katanya, sehingga semalam kutipan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar terbabit mencecah RM20,000 dan pihaknya masih mengharapkan sumbangan daripada orang ramai.
sumber

08 Disember 2010

TV baru


KUALA LUMPUR - TV AlHijrah yang baru dilancarkan secara rasmi semalam merupakan satu detik bersejarah untuk negara kerana kelahiran sebuah lagi stesen milik kerajaan selepas penubuhan Radio Televisyen Malaysia (RTM) lebih 60 tahun lalu.

Pelancaran stesen ini yang dirasmikan dalam satu majlis yang unik menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan ‘panahan perdana’ dengan melepaskan sebilah anak panah ke sasaran logo TV AlHijrah sebesar meter meter tinggi yang terletak di puncak bangunan Pusat Penyiaran Digital AlHijrah.

Perasmian unik dengan cara memanah ke arah logo TV AlHijrah ini adalah mengambil iktibar daripada Hadis Rasulullah yang berbunyi ‘ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda’.

Pada ucapan perasmian sebelum itu, Najib menjelaskan objektif utama AlHijrah adalah memainkan peranan penting untuk memperkenalkan ajaran Islam sebenar kepada seluruh rakyat di negara ini, tidak kira kepada orang Islam atau bukan Islam.

“Pemahaman ajaran Islam sebenar akan dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam dan pada masa yang sama masyarakat bukan Islam dapat membuang perasaan prejudis dan buruk sangka terhadap Islam supaya mereka tidak lagi fobia apabila disebut perkataan Islam.

“Mereka juga akan yakin bahawa masyarakat Islam tidak bertindak jika tidak diganggu dan pada masa sama mereka adalah rakan yang amat setia,” katanya.

Selain itu, Najib turut mengharapkan TV AlHijrah menjadi medium perpaduan ummah serta menerima stesen TV baru ini sebagai media pendidikan tidak formal untuk mereka.

“Bagi masyarakat bukan Islam, stesen ini diharap akan memperkenalkan kepada mereka ajaran Islam yang betul, harmoni dan membawa kepada kesejahteraan,” katanya.

Katanya lagi, pemilihan tarikh perasmian TV AlHijrah semalam amat bermakna kerana ia jatuh pada tarikh sambutan Maal Hijrah atau 1 Muharram, yang ada kaitan dengan nama stesen TV ini sendiri.

Detik bersejarah pelancaran ini turut disaksikan oleh ratusan dif-dif kehormat, termasuk wakil negara-negara OIC, mufti-mufti negeri, Ketua-Ketua Agama Islam seluruh negara, wakil-wakil media dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

TV AlHijrah adalah stesen TV percuma terbaru berkonsepkan Islam dan kini telah bersiaran melalui 6 pemancar termasuk di Lembah Kelang, Terengganu, Johor Tenggara, Sabah, Sarawak dan terbaru dari Bukit Pelindung, Pahang serta mencakupi 60 peratus penonton di negara ini.

05 Disember 2010

Lebih 20 juta kenderaan menjelang akhir 2010

KUALA LUMPUR 2 Dis 2010. - Malaysia akan mempunyai lebih daripada 20 juta kenderaan berdaftar di jalan raya menjelang akhir tahun ini.

Ketika mendedahkan perkara ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, jumlah terkumpul kenderaan berdaftar mencapai lebih 19 juta pada 2009.

"Malaysia boleh dianggap sebagai salah sebuah negara bermotor yang tinggi di mana lebih daripada sejuta (1,017,361) unit kenderaan baru didaftarkan pada 2009 sahaja.

"Ini bermakna bahawa setiap 30 rakyat Malaysia, tua dan muda, memperoleh kenderaan bermotor baru setiap tahun, katanya semasa merasmikan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010 di sini.

KLIMS 2010, antara lain akan mempamerkan kenderaan berteknologi hijau, kenderaan konsep dan model pengeluaran yang menggariskan janji yang dibuat oleh penggiat industri untuk masa depan yang lebih hijau dan permotoran yang lebih mapan. - Bernama

KUALA LUMPUR 3 Dis. 2010— Kerajaan hari ini mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula berkuatkuasa esok.
Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.
Pengumuman tentang rationalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.
Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 10 sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula. — Bernama